TOKYO – Sejenis baka ayam di Jepun yang dikenali sebagai Onagadori dilabel antara yang paling cantik di dunia kerana memiliki ekor yang boleh mencecah panjang 10 meter, lapor laman berita Oddity Central kelmarin.
Berbanding 17 baka ayam yang dianggap sebagai khazanah negara Jepun, Onagadori adalah satu-satunya yang mempunyai status istimewa.
Sejak menerima status ini pada 1952, eksport burung dan telur Onagadori telah diharamkan, justeru sukar menemui spesies ini di luar Jepun.
Baka ini terkenal dengan ekor ayam jantan yang tidak bercabang dan sangat panjang serta boleh tumbuh sepanjang hayat burung tersebut.
Menurut beberapa pakar, ayam betina Onagadori mengeram telur secara normal, manakala ayam jantan pula hanya melucutkan bulunya setiap tiga tahun.
Tabiat ini adalah salah satu sebab mengapa penternak Eropah tidak begitu menyukai baka Onagadori kerana unggas ini akan menyimpan bulu yang kusut dan rosak untuk jangka masa lama.
Untuk diklasifikasikan sebagai Onagadori tulen, ayam jantan itu mesti mempunyai ekor sepanjang sekurang-kurangnya 1.5 meter.
Rekod ekor ayam Onagadori buat masa ini adalah sepanjang 11.3 meter. – Agensi