LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menjangkakan Norwich City bakal menggegarkan Anfield ketika kedua-dua pasukan membuat perhitungan di pusingan kelima Piala FA awal pagi esok.
Bagaimanapun, Liverpool yang masih diulit kejayaan menjulang Piala Liga Inggeris begitu mengalu-alukan kehadiran buat kali kedua Norwich City selepas turut menang 3-1 pada aksi liga 19 Februari lalu.
Klopp juga percaya perlawanan akan berlangsung dalam suasana menarik ketika kelab itu meneruskan pemburuan trofi kedua buat penyokong.
Pengurus berbangsa Jerman itu merasakan perlawanan menentang Norwich City kali ini adalah permulaan baharu buat The Reds untuk menambah koleksi kejuaraan musim ini, namun tetap mengharapkan faktor nasib dapat membantu misi pasukan.
“Kami perlu harunginya, bekerja keras dan hadapi perlawanan ini. Anfield akan menggegar dan saya harap kami mampu menyajikan perlawanan yang menarik untuk disaksikan.
“Kami tidak berasa gementar jika ia tidak berlaku dengan baik. Sekarang pasukan ini lebih berpengalaman dan perlawanan ini adalah aksi yang cukup besar buat kami.
Kelmarin, The Reds menjulang Piala Liga Inggeris untuk menambah koleksi kejuaraan buat Klopp selepas membenam Chelsea 11-10 pada penentuan penalti. – AGENSI