fbpx

Petronas catat untung RM48.6 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Petronas merekodkan untung selepas cukai berjumlah RM48.6 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Di­sember 2021, berbanding kerugian selepas cukai RM21 bilion pada 2020, disokong harga bahan api yang semakin meningkat.

Perolehan berada pada paras RM248 bilion berbanding 39 peratus lebih tinggi berbanding RM178.7 bilion tahun sebelum­nya, ini disebabkan impak harga yang menggalakkan bagi produk utama, sejajar de­ngan purata harga direalisasi yang lebih tinggi.

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) pula meningkat 82 peratus kepada RM100.5 bilion, hasil daripada perolehan lebih baik, namun sebahagian daripadanya diimbangi peningkatan kos produk.

Petronas turut membayar di­viden berjumlah RM25 bilion kepada kerajaan untuk tahun 2021.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, prestasi kukuh Petronas tahun lalu mencerminkan dedikasi tinggi oleh warga kerjanya.

Tengku Muhammad Taufik

Jelasnya, digabungkan dengan portfolio tenaga bersepadu dan mantap, Petronas mampu kekal berdaya tahan selepas dua tahun berdepan gangguan teruk pada ekosistem tenaga dan meletakkan kumpulan pada kedudukan lebih baik untuk memanfaatkan pemulihan pasaran.

“Kami bakal melancarkan entiti bebas baharu pada perte­ngahan tahun ini, yang akan memfokuskan kepada penyelesaian tenaga bersih sepenuhnya, me­rangkumi tenaga boleh baharu, hidrogen dan mobiliti hijau.

“Selain itu, dengan penubuhan Unit Pengurusan Karbon berpusat di bawah perniagaan huluan, kami akan mempercepatkan usaha nyah karbon me­rentasi Kumpulan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi taklimat pengumuman keputusan kewangan Petronas untuk tahun 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur semalam.

Muhammad Taufik menambah, menerusi dua langkah tersebut, Petronas disasarkan untuk mengalami transformasi kepada sebuah superstore tenaga yang menyediakan pelanggan dengan rangkaian tenaga dan penyele­saian yang menggerakkan perniagaan, serta memacu kemajuan dengan cara yang mampan dan bertanggungjawab.

“2022 akan menjadi tahun di mana Petronas perlu menggiatkan usaha secara lebih bermakna dalam mengejar tujuannya untuk menjadi rakan penyele­saian tenaga progresif yang mengkayakan kehidupan untuk masa depan lestari,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI