LONDON – Ketua pasukan Red Bull, Christian Horner menegaskan jentera RB18 yang dipersembahkan kepada umum baru-baru ini sekadar prototaip dan mengesahkan masih terdapat perubahan besar dilakukan mereka menjelang perlumbaan pembuka tirai pada 20 Mac ini.
Tegas Horner, sesi ujian pramusim di Barcelona hanyalah perkara asas dan butiran akhir mengenai jentera itu tetapi mereka akan turun dengan lebih sempurna di Grand Prix (GP) Bahrain.
Bagaimanapun, Horner berpendapat saingan kali ini pasti mencabar kerana jentera baharu 2022 ini mampu memecut dengan kepantasan dua saat lebih laju berbanding perlumbaan sebelum ini.
“Disebabkan peraturan baharu ini, semua pasukan akan lakukan terbaik. Pastinya akan ada kejutan daripada setiap pasukan. Pada sesi ujian rasmi di Barcelona, kami lihat peningkatan prestasi, malah kelajuan lebih 1.5 hingga 2 saat dicatatkan jentera baharu ini.
“Menerusi data yang diperoleh, catatan masa yang direkodkan menunjukkan tidak jauh dari kedudukan pertama pertama tahun lalu,” kata Horner.
Dalam pada itu, Horner mengakui pasukannya tidak bimbang meskipun pada sesi ujian tersebut mereka mengalami masalah kotak gear.
“Ia adalah proses untuk menilai jentera dengan lebih baik. Kami mengumpul banyak data dan secara keseluruhan ia adalah ujian yang positif untuk proses penambahbaikan.
“Kami banyak belajar terutama tentang potensi tayar baharu dan beberapa komponen lain yang mula membantu pasukan mendapatkan catatan masa yang lebih baik sebelum ini,” tambahnya. –AGENSI