MADRID – Seorang warganegara Ukraine yang bekerja dengan jutawan Rusia cuba menenggelamkan kapal layar mewah milik majikannya yang bernilai AS$7.7 juta (RM32 juta), lapor akhbar The Sun UK, kelmarin.
Kapal layar diberi nama Lady Anastasia itu dimiliki oleh seorang ahli perniagaan, Alexander Mijeev.
Selain menenggelamkan kapal layar, kelasi kapal bernama Taras Ostapchuk itu turut menuduh Mijeev menjual senjata kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Ostapchuk cuba menenggelamkan kapal layar mewah sepanjang 47 meter di perairan Majorca dengan membanjiri bilik enjinnya.
Dia yang juga ketua jurutera kapal itu membuka injap di dalam bilik enjin dsebelum dikatakan memberitahu tiga pekerja yang juga warganegara Ukraine meninggalkan kapal tersebut.
Dia juga bertindak menutup elektrik dan menutup injap bahan api.
Kapal layar itu ditinggalkan dengan keadaan bilik enjin yang musnah.
Taras telah ditangkap dan kemudian memberitahu mahkamah Sepanyol bahawa dia menyalahkan bosnya kerana menghasilkan senjata yang digunakan untuk menyerang Ukraine.
Lelaki berusia 55 tahun itu memberitahu hakim bahawa dia tidak menyesali tindakannya dan akan melakukannya sekali lagi.
“Saya menonton berita tentang perang. Terdapat video serangan helikopter ke atas sebuah bangunan di Kiev.
“Ada senjata yang digunakan tentera Rusia dihasilkan oleh syarikat pemilik kapal layar. Mereka menyerang orang yang tidak bersalah,” dakwa Ostapchuk.
Ostapchuk dibebaskan sementara menunggu siasatan selesai.
Dia kemudian mengakui telah kalah dalam pertempuran pertama, iaitu untuk menenggelamkan kapal bos Rusia saya tetapi akan memenangi pertempuran seterusnya. – Agensi