fbpx

Calon SPM terjejas bah dibenar tukar pusat peperiksaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang terjejas banjir dibenarkan untuk menduduki peperiksaan di pusat peperiksaan lain yang boleh diakses sebagai calon menumpang.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan berkata, calon terbabit bagaimanapun perlu memaklumkan perkara tersebut kepada pusat peperiksaan asal bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai tindakan selanjutnya.

“Lembaga Peperiksaan (LP) KPM sentiasa memantau rapi situasi semasa pusat peperiksaan yang terjejas dan telah menyediakan pelan tindakan bagi memastikan calon SPM 2021 dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan teratur dan selamat.

“KPM merujuk kepada situasi banjir di Kelantan dan Terengganu, keadaan ini memberi kesan terhadap persiapan peperiksaan SPM 2021 bermula 2 Mac hingga 29 Mac ini,” katanya di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, berdasarkan ketetapan sedia ada, pengurusan pusat peperiksaan yang terjejas banjir dilaksana mengikut ketetapan Pekeliling Persediaan Menghadapi Banjir Yang Mengancam Perjalanan Peperiksaan Bil.1/2001.

“Sekolah atau pusat peperiksaan yang dinaiki air serta tidak dapat dimasuki akan dipindahkan ke sekolah berhampiran sebagai pusat alternatif. Jika tiada sekolah bersesuaian, calon akan menduduki peperiksaan penjadualan semula.

“Sekiranya hanya sebahagian sekolah atau pusat peperiksaan dinaiki air, pusat peperiksaan akan dikekalkan namun peperiksaan akan dipindahkan ke kelas atau bangunan yang lebih tinggi,” katanya.

Jelas KKM, pusat peperiksaan akan dikecualikan daripada dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) namun jika sekolah berkenaan terpaksa dijadikan PPS, ia perlu diletakkan di bangunan yang berjauhan tanpa berkongsi kemudahan.

“Calon terjejas banjir yang tidak menetap di asrama sekolah akan dibenarkan menduduki peperiksaan jika lewat sampai ke pusat peperiksaan dalam tempoh 30 minit selain diberikan masa gantian yang hilang.

“Jika calon lewat sampai ke pusat peperiksaan melebihi 30 minit pertama, calon tersebut akan dibenarkan untuk menduduki peperiksaan penjadualan semua,” ujar kenyataan itu.

Tambahnya, calon terjejas banjir yang tidak dapat hadir ke pusat peperiksaan perlu menghubungi guru kelas, setiausaha peperiksaan atau pengetua sekolah untuk memaklumkan perkara tersebut dan akan dibenarkan menduduki peperiksaan penjadualan semula.

“KPM sentiasa prihatin tentang kebajikan calon yang terlibat dengan banjir. Bagi calon atau petugas peperiksaan yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai pengurusan menghadapi banjir semasa peperiksaan SPM ini sila hubungi bilik gerakan LP dan Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI