PETALING JAYA – “Hanya salah faham, saya bergurau sahaja.”
Demikian jawapan penyanyi dan komposer, Haqiem Rusli berhubung khabar angin yang mendakwa isterinya, Anis Sofea, 20, kini sedang hamil.
Meleraikan semua salah faham, Haqiem atau nama penuhnya Ridzuan Haqiem Ruslim 24, menjelaskan kenyataannya dalam video tersebut hanya gurauan semata-mata.
“Ramai yang sudah muat naik video saya akan menimang anak pertama. Semua itu hanya gurauan dengan Aqo, dia yang rakam.
“Buat masa sekarang belum ada lagi (anak) tetapi kami minta doa anda semua supaya dapat menimang anak pertama. Jangan slaah faham,” jawabnya dalam sebuah video.
Semalam, tular sebuah video milik jurugambar, Aqo Imran memaparkan Haqiem bercakap tentang anak yang bakal dilahirkan.
“Anak coming soon (akan lahir),” tutur pelantun Mimpi itu dalam video tersebut.
Video tersebut tular sehingga meraih ribuan komen positif netizen yang rata-ratanya teruja dengan berita gembira itu.
Sebelum ini, Haqiem yang pernah membintangi drama Kebaya Kasut Kanvas itu memberitahu masih belum bersedia menimang cahaya mata memandangkan usianya dan Anis masih muda.
Sebagai info, Haqiem dan Anis selamat bergelar suami isteri di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya pada 19 November lalu. – KOSMO! ONLINE