LONDON – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp gembira selepas percaturannya menurunkan penjaga gol muda, Caoimhin Kelleher pada perlawanan akhir Piala Liga Inggeris (EFL) awal pagi semalam membuahkan hasil apabila mereka menjulang trofi tersebut.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Wembley itu, The Reds menjulang gelaran EFL kesembilan apabila menewaskan Chelsea 11-10 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan sehingga masa tambahan 120 minit perlawanan berlangsung.
Kelleher boleh dianggap sebagai wira Liverpool apabila menyelamatkan beberapa percubaan daripada jentera serangan Chelsea selain menjaringkan gol kemenangan buat pasukan itu.
“Dia (Kelleher) sudah melakukan yang terbaik untuk membawa pasukan ke dari awal saingan hingga ke pentas final, adakah saya tidak mahu berikan dia peluang beraksi. Dia layak untuk bermain pada perlawanan akhir ini dan saya gembira dengan keputusan tersebut.
“Saya beritahu Allison (Becker) dia tidak akan bermain di final kerana mahu menurunkan Kelleher. Dia tidak membantah dan bersetuju agar Kelleher diberikan tanggungjawab itu,” kata Klopp.
Pengendali dari Jerman itu juga mengakui lega apabila trofi EFL menjadi milik Liverpool selepas pintu gol mereka beberapa kali dibolosi, namun dibatalkan kerana ofsaid.
“Saya sudah lega sekarang. Bagaimanapun, ia lebih baik sekiranya perlawanan tamat dalam tempoh 90 minit walaupun dengan keputusan 1-0. Kedua-dua pasukan menampilkan aksi cukup baik hari ini (semalam),” ujarnya. – AGENSI