fbpx

Musim bunga sakura tiba di Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang wanita berjalan di bawah pokok Tekoma putih yang bunganya sedang mekar di Tanjung Tokong, George Town semalam. – IQBAL HAMDAN

GEORGE TOWN – Umpama musim bunga sakura di Jepun, beberapa kawasan di negeri ini berubah wajah selepas dihiasi dengan keindahan bunga Tecoma berwarna merah jambu, ungu dan putih yang sedang mekar.

Keindahan itu dapat dinikmati selepas Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengambil inisiatif menanam kira-kira 3,047 pokok Tabebuia spp atau lebih dikenali Tecoma di kawasan di bahagian pulau seperti Tanjung Tokong, Jalan Sultan Ahmad Shah, Batu Ferringhi, Bayan Lepas dan Balik Pulau.

Bunga-bunga Tecoma yang sedang mekar itu ternyata menarik perhatian ramai peminat seni fotografi dan untuk mera­kamkan gambar bunga-bunga berkenaan.

Pengarah Landskap MBPP, Azizul Fahmi Muhamad berkata, pokok Tecoma itu ditanam di kawasan sekitar Jalan Sultan Ahmad Shah, tanah lapang di Sunway Tunas, tanah lapang di Sungai Ara, Lilitan Sungai Ara dan Persiaran Bayan Mutiara.

Lokasi lain adalah Jalan Baru di Balik Pulau, Bukit Gambir di Universiti Sains Malaysia, Persia­ran Sungai Emas, Jalan Tengah, Jalan Jelutong, Bulatan Bayan Lepas dan Jalan Bricklin Titi Merah.

“Tujuan utama penanaman pokok ini adalah untuk menghijaukan serta mengindahkan kawasan sekitar Pulau Pinang terutama apabila tiba musim pokok ini berbunga,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, MBPP akan meneruskan usaha penanaman pokok tersebut di kawasan tanah lapang selepas ini bagi mewujudkan suasana yang lebih indah di Pulau Pinang.

Dalam pada itu, pegawai penyelidik Taman Botani Pulau Pinang, D. Thachayni berkata, pokok Tecoma yang sedang mekar kebanyakannya daripada spe­sies Tabebuia rosea yang mempunyai bunga berwarna putih atau ungu.

“Pokok ini biasanya mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk membesar sehingga bunga pertamanya mekar.

“Proses untuk pokok ini berbunga akan berlangsung selama satu bulan dan ia akan mekar selama satu hingga dua minggu,” katanya.

Tambahnya, terdapat tumbuhan lain yang mempunyai corak berbunga seperti ini seperti Lagerstroemia sp.

“Jika anda mahu melihat ke­dua-dua spesies ini, Lagerstroemia sp. dan Tabebuia rosea, anda boleh mengunjungi Taman Botani Pulau Pinang kerana kedua-dua spesies ini ditanam di sana,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI