JOHOR BAHRU – Seorang pengundi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin membuat laporan polis terhadap calon PKR, Dr. Zamil Najwah Arbain kerana mengadakan majlis minum petang ‘hi-tea’ ketika berkempen untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.
Muhammad Syafiz Zainol, 39, memberitahu, dia membuat laporan polis itu kerana percaya perbuatan tersebut adalah bertentangan dengan akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Menurutnya, dia juga akan membuat laporan polis sama terhadap mana-mana calon lain yang melakukan perbuatan sama.
“Ketika saya sedang bersarapan, saya melihat satu video membuka calon PKR bagi DUN Larkin ini mengadakan sesi ‘hi-tea’ dengan menjemput masyarakat untuk makan dan minum bersama.
“Sebagai pengundi di kawasan ini, saya merasakan itu adalah satu bentuk rasuah kerana dia mengharapkan balasan iaitu untuk orang ramai mengundinya.
“Sebagai salah seorang daripada calon yang akan bertanding dan berhasrat menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), beliau sepatutnya tidak terlibat dengan perbuatan sedemikian, ia tidak adil,” katanya kepada pemberita selepas selesai melakukan laporan polis berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, di sini hari ini.
Dalam video berkenaan, calon PKR iaitu Zamil Najwah turut kelihatan bersama Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan juga Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir.
Tambah Muhammad Syafiz yang merupakan seorang kontraktor itu lagi, pihaknya berharap polis akan menyiasat dan mengambil tindakan tegas agar perbuatan cuba membeli undi masyarakat tidak lagi berulang.-KOSMO! ONLINE