PEMAIN perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao sedia memainkan peranan penting menjelang saingan Piala Thomas 2020 yang berlangsung di Aarhus, Denmark bermula 3 hingga 11 Oktober depan.
Juara remaja Asia 2017 itu menegaskan, dia tidak mahu dianggap sebagai penumpang dalam skuad Piala Thomas, sebaliknya bertekad menjadi salah seorang penyumbang mata buat Malaysia.
Jun Hao dipilih menganggotai skuad Piala Thomas kali ini, mengiringi perseorangan lelaki No. 1 negara, Lee Zii Jia, Liew Daren serta Cheam June Wei dalam acara tersebut.
“Ini adalah kejohanan Piala Thomas kedua dalam karier saya. Memang saya sudah sedia untuk berjuang dalam setiap perlawanan tetapi mungkin beraksi sebagai perseorangan ketiga.
“Sudah tentu ada tekanan beraksi sebagai perseorangan ketiga, lebih-lebih lagi jika bermain dalam aksi penentuan. Saya harap berpeluang sumbang mata penting buat negara,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Pemain berusia 21 tahun itu sedia menggunakan masa lebih kurang sebulan sahaja lagi bagi memperbaiki gaya permainan serta memastikan keadaan fizikal dan mental berada pada tahap terbaik.
“Masih ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki, terutamanya dari aspek permainan, fizikal dan mental. Piala Thomas adalah kejohanan yang sangat besar, sudah tentu tekanan tinggi menanti semua pemain.
“Justeru, dengan tempoh kurang sebulan sahaja lagi sebelum kami berangkat ke Denmark, saya harap boleh gunakan masa itu sebaik mungkin bagi memantapkan gaya permainan,” ujarnya.