fbpx

Berkhemah beramai-ramai hilangkan stres

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SETIAP keluarga membawa khemah masing-masing dan dipasang secara berdekatan bagi memudahkan komunikasi serta segala urusan.

SELEPAS kerajaan mengumumkan sekatan rentas negeri ditarik balik bermula 11 Oktober lalu, ramai rakyat negara ini teruja lantas merancang untuk melaksanakan pelbagai aktiviti bersama keluarga dan rakan-rakan.

Mengambil peluang yang tersedia, sekumpulan penduduk di Taman Sutera, Seberang Jaya, Pulang Pinang mengambil inisiatif menjalankan aktiviti santai bersama keluarga bagi menghilangkan tekanan yang dihadapi.

Disebabkan ramai antara mereka menggemari aktiviti luar, maka timbul idea untuk berkelah beramai-ramai sama ada di pantai atau sungai.

Terbaharu, kumpulan kejiranan yang menggelarkan diri mereka sebagai Geng Lorong Sutera 12 Camper itu melakukan aktiviti berkhemah di Lubok Jong, Lata Sedim, Kulim, Kedah bersempena cuti umum Tahun Baharu Cina.

SEKUMPULAN Ahli Geng Lorong Sutera 12 Camper yang merupakan penduduk berjiran di Taman Sutera, Seberang Jaya, Pulau PInang berkhemah dan bermain air di Lubok Jong, Lata Sedim, Kulim, Kedah baru-baru ini.

“Lebih daripada 25 orang terdiri daripada lima keluarga telah menyertai aktiviti santai tersebut kerana kebanyakan daripada kami memang sukakan aktiviti berkhemah.

“Kesemua keluarga membawa khemah masing-masing untuk dijadikan tempat berehat dan tidur pada waktu malam.

“Memandangkan kesemua peserta meminati aktiviti luar termasuk golongan isteri dan kanak-kanak, jadi tidak menjadi masalah bagi kami tidur di dalam khemah walaupun kurang selesa berbanding di rumah,” kata salah seorang ahli, Adhar Yahya, 44.

Jelas Adhar lagi, aktiviti berkhemah itu bukan saja dapat menghilangkan tekanan, tetapi turut menjadi platform mengeratkan silaturahim.

Katanya, selain aktiviti berkelah, mereka turut berkongsi makanan yang dibawa dari rumah dan dimasak di lokasi perkhemahan sebelum makan secara beramai-ramai.

Malah, kanak-kanak yang sememangnya sudah saling mengenali antara satu sama lain juga dapat bergembira dengan bermain air sungai selain melakukan aktiviti tubing beramai-ramai.


MOHD. AZELI menyediakan masakan untuk dinikmati bersama ahli keluarga dan rakan-rakan.

“Kegembiraan seperti inilah yang kami ingin wujudkan dalam kalangan kejiranan yang menyertai aktiviti ini.

“Diharapkan keakraban dan semangat ukhuwah ini terus berkekalan apabila kami pulang ke rumah masing-masing kerana sememangnya semua kami adalah berjiran,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai kumpulan tersebut, Azeli Ali, 44, pula memberitahu, ia bermula sekitar Oktober tahun lalu selepas kerajaan melonggarkan pergerakan masyarakat ekoran penurunan kes Covid-19.

“Disebabkan kesemua kami berkongsi minat termasuk memancing, maka kami tubuhkan kumpulan ini secara tidak rasmi bagi memudahkan perancangan melaksanakan aktiviti-akvititi hujung minggu seperti berkhemah.


AKTIVITI makan beramai-ramai dapat mengeratkan ukhuwah sesama peserta perkhemahan yang juga jiran tetangga.

“Walaupun pada peringkat awal ada yang tidak mempunyai kelengkapan perkhemahan, namun atas perkongsian maklumat rakan-rakan, kesemua barangan asas dapat dibeli sedikit demi sedikit sama ada dari kedai peralatan perkhemahan mahupun secara online.

“Alhamdulillah, selama lima bulan kumpulan ini wujud, lapan keluarga daripada kejiranan kami sudah berkumpul dan melakukan aktiviti berkhemah yang diadakan di sekitar Pulau Pinang dan Kedah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI