BERLIN – Beratus-ratus ribu orang keluar ke jalan-jalan raya di seluruh dunia kelmarin untuk mengutuk pencerobohan Rusia ke atas jirannya, dengan ramai membawa bendera Ukraine dan sepanduk tertera slogan bermaksud, ‘Tiada Perang Dunia Ketiga’ dan ‘Orang Rusia Pergi Balik’.
Dari Berlin hingga Baghdad, dari Washington hingga bandar raya Sait Petersburg, penunjuk perasaan melaungkan kecaman terhadap Presiden Rusia, Vladimir Putin, manakala sebilangan yang lain mengibarkan sepanduk bersama slogan bermaksud ‘Putin pembunuh’.
Di ibu kota Jerman, polis menganggarkan sekurang-kurangnya 100,000 orang hadir, manakala demonstrasi di Prague menarik kehadiran 70,000 orang dan 15,000 penunjuk perasaan di Amsterdam.
Penganjur bantahan di Berlin bagaimanapun berkata, kehadiran penunjuk perasaan adalah lima kali ganda lebih ramai daripada yang dinyatakan oleh polis. Kumpulan penunjuk perasaan itu berhimpun di mercu tanda Berlin, Pagar Brandenburg, berhampiran kedutaan Rusia.
“Adalah penting bagi saya untuk Jerman menunjukkan bahawa ia memperjuangkan demokrasi di Eropah,” kata seorang lelaki berumur 49 tahun, Hans Georg Kieler yang menyertai bantahan itu.
Dia memuji Jerman kerana menghantar senjata kepada Ukraine tetapi berkata, Berlin boleh menghulurkan lebih banyak bantuan.
Di bandar kedua terbesar di Rusia, Saint Petersburg, kira-kira 400 orang berhimpun sekali gus melanggar undang-undang anti tunjuk perasaan yang ketat.
Terdahulu, lebih 2,000 orang ditahan dalam tunjuk perasaan di seluruh Rusia susulan beribu-ribu tangkapan lain yang dibuat pada minggu lalu tetapi perkembangan itu tidak mematahkan semangat penunjuk perasaan.
Di ibu kota Amerika Syarikat (AS) , Washington, beberapa ribu penunjuk perasaan mengibarkan bendera Ukraine dan AS di hadapan White House sambil menggesa Presiden Joe Biden melakukan lebih banyak tindakan untuk mengekang kekerasa Putin.
Beberapa ribu orang berhimpun di pusat bandar Rom untuk menyahut seruan daripada 235,000 komuniti Ukraine di Itali supaya berhimpun.
“Kami gagah tetapi kami bersendirian sekarang. Sebuah negara kecil tidak dapat melindungi seluruh dunia daripada kekerasan seorang yang jahat (Putin),” kata penunjuk perasaan, Yvanna Bovik said.
Di Prague, berpuluh-puluh ribu orang berhimpun di Dataran Wenceslas termasuk Roman Novotny yang melakukan perjalanan sejauh 300 kilometer untuk menyertai demonstrasi itu.
“Kita perlu lakukan yang terbaik. Kita berada dalam situasi sukar kerana ‘orang gila’ itu (Putin) memiliki senjata nuklear,” kata Novotny.
Di Denmark pula, Perdana Menterinya, Mette Frederiksen menyertai 10,000 penunjuk perasaan di hadapan Kedutaan Rusia di Copenhagen untuk mengutuk pencerobohan Moscow.
“Anda semua dan seluruh Eropah diancam oleh Rusia,” katanya kepada orang ramai. – AFP