PUTRAJAYA – Kementerian Luar mengesahkan seramai 110 pelajar Malaysia di Queensland, Australia dipindahkan susulan banjir buruk yang melanda negeri tersebut sejak Jumaat lalu.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, mereka itu merupakan penuntut di bawah tajaan pelbagai agensi daripada keseluruhan 200 pelajar yang mendaftar di Queensland.
“Setakat ini 75 pelajar berjaya dipindahkan ke pusat penempatan sementara di Universiti Queensland di ibu negerinya, Brisbane,” katanya menerusi hantaran dalam media sosial hari ini.
Sementara baki 35 orang lagi sedang dipindahkan oleh pasukan penyelamat ke kampus itu manakala secara keseluruhan, terdapat 348 rakyat Malaysia berdaftar di negeri berkenaan.
Wisma Putra ujar beliau, melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra sedang memantau rapi keadaan rakyat kita termasuk kemungkinan banjir di negeri jirannya, New South Wales.
Pejabat misi diplomatik yang terletak di ibu negara Australia itu jelas Saifuddin, turut mendapat bantuan kerjasama yang erat daripada wakil komuniti Malaysia di Brisbane, Chan Wai Kiong.
Ia juga dipantau Presiden Majlis Pelajar Malaysia Australia, Razin Hadi dan menyelaraskan urusan perpindahan rakyat negara ini yang terjejas banjir ke pusat pemindahan ditetapkan.
“Kerajaan Queensland melalui siaran televisyen tempatan telah memaklumkan bahawa situasi bah tersebut dijangka berlarutan bagi tempoh sehingga lima hari akan datang,” jelas beliau.
Bahkan tambahnya, menurut agensi kaji cuaca Australia, situasi hujan diramal akan bergerak menghala ke arah selatan yang mungkin menjejaskan ibu negeri New South Wales, Sydney.
Justeru kata Saifuddin, Suruhanjaya Tinggi Malaysia bekerjasama dengan Konsulat Malaysia di Sydney untuk bersiap siaga dan sentiasa melaporkan pemantauan perkembangan banjir.
Rakyat Malaysia di kawasan terjejas bencana itu dinasihatkan untuk segera berhubung terus dengan pihak suruhanjaya yang beralamat di 7, Perth Avenue, Yarralumla, ACT Canberra.
Canseri tersebut turut boleh dihubungi menerusi talian telefon +61261 200 300 / 310 atau selepas waktu pejabat iaitu +61416 334 901 atau melalui e-mel [email protected] KOSMO! ONLINE