fbpx

Curi air hampir setengah juta bersihkan tangki kimia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pegawai SPAN menunjukkan sambungan haram bagi mencuri air dilakukan kilang pembersihan tangki kimia di Pulau Indah, Klang hari ini.

PELABUHAN KLANG – Kegiatan curi air yang dilakukan sebuah kilang pembersihan tangki kimia sejak lebih setahun lalu sehingga menyebabkan kerugian hampir setengah juta terbongkar selepas diserbu di Taman Perindustrian Pulau Indah di sini hari ini.

Operasi pada pukul 12 tengah hari itu melibatkan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor).

Eksekutif Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna SPAN, Ida Murni berkata, siasatan awal mendapati kilang itu melakukan aktiviti tersebut sejak November 2020 dan menyebabkan kerugian 195,000 meter padu air terawat berjumlah RM450,000.

“Pengusaha kilang melakukan satu sambungan secara haram daripada sesalur utama Air Selangor ke tiang utama tidak bermeter sepanjang 30 meter secara terus ke kilang.

“Sambungan dari paip jenis HDPE berukuran 50 milimeter (mm) tersebut bertujuan untuk mendapatkan bekalan air bagi menampung aktiviti harian kerja pembersihan tangki bahan kimia dan pekerja mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas operasi.

Kata beliau, bagi mengaburi pihak berkuasa, kilang itu meletakkan satu papan di hadapan tiang utama tidak bermeter dan semakan Air Selangor mendapati premis berkenaan tidak mempunyai sebarang meter air dan akaun bekalan air yang sah.

“Hasil ujian air klorin di tapak juga mengesahkan bekalan air terawat milik Air Selangor. Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006,” jelasnya.

Ida menegaskan, sekiranya disabitkan kesalahan, pengusaha kilang itu boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI