PETALING JAYA – Keterujaan penyanyi dan pengacara, Roslan Shah yang dijemput menjadi tetamu undangan dalam program Wanita Hari Ini (WHI) bertukar jadi detik mengejutlan apabila tiba-tiba rebah dan terlungkup ketika siaran langsung ke udara sebentar tadi.
Dalam siaran langsung tersebut, Roslan Shah atau mesra disapa Cik Lan dilihat sedang ditemu bual oleh dua pengacara iaitu Fatin Hamimah dan Hawa Rizwana dengan topik bertajuk Si Mulut Tempayan.
Suasana menjadi kecoh apabila Cik Lan yang baharu sahaja menjawab soalan daripada pengacara, Fatin Hamimah tiba-tiba dilihat batuk dan jatuh terlungkup di atas meja kaca yang berada di hadapannya.
Salah seorang pengacara WHI, Hawa Rizwana yang juga berada di lokasi kejadian ketika dihubungi Kosmo! Online memberitahu, dia bersama rakan pengacara, Fatin terkejut dan tergamam selepas melihat cik Lan tiba-tiba pengsan.
“Saya dan juga Fatin sangat terkejut melihat cik Lan tiba-tiba rebah. Mujur ada kru produksi segera memberikan bantuan,” katanya.
Sewaktu diminta untuk menceritakan lebih lanjut keadaan selebriti kelahiran Singapura itu, Hawa bagaimanapun tidak dapat memberikan butiran lanjut dan meminta supaya menunggu kenyataan yang akan dikeluarkan oleh pihak produksi WHI.
Sehingga kini usaha untuk mendapatkan perkembangan daripada pihak Roslan masih tidak berjaya, panggilan telefonnya juga tidak terjawab.
Semalam selebriti serba boleh itu ada memuat naik hantaran dalam InstaStory miliknya memberitahu bahawa dia berada dalam keadaan kurang sihat.
“Esok (semalam) sebelum masuk studio TV3 kena buat ujian calitan dan hantar malam mini (malam tadi) juga.
“Walaupun kepala kurang sihat kena hujan sudah dua hari,” tulisnya – KOSMO! ONLINE