RANAU – Sebuah video seorang individu merakamkan kejadian salji turun di kawasan Gunung Kinabalu menggemparkan pelayar laman sosial Facebook, hari ini.
Video berdurasi kira-kira satu minit berkenaan mula menjadi tular sejak pagi tadi ekoran fenomena terbabit jarang berlaku di Malaysia.
Malim Gunung yang juga pelatih Via Ferrata, Hajiri Sulumin, 47, berkata, peluang dapat melihat fenomena salji turun di Gunung Kinabalu adalah pengalaman kedua selepas kali pertama melihatnya pada tahun 2018.
“Ia berlaku kira-kira pukul 7.18 pagi dan fenomena itu memang salji sebab ringan. Kalau ketulan ais, pasti kita dapat rasakan ia lebih berat.
“Saya berada di pusat pemeriksaan Sayat-Sayat sewaktu salji turun pagi tadi tetapi fenomena itu hanya sekitar dua hingga tiga minit sahaja,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Taman Kinabalu, Justinus Guntabid berkata, menurut rekod sebelum ini menyatakan fenomena salji turun di Gunung Kinabalu pernah berlaku pada tahun 1975 dan 1993.
“Malahan kejadian terbabit dipercayai turut berlaku pada tahun 2018 namun ada pihak menyatakan fenomena ketika itu sebenarnya adalah proses pembekuan dan bukannya salji.
“Bagaimanapun, kejadian kali ini memang boleh dilihat dengan jelas ia ialah salji. Saya menyifatkan individu yang dapat melihat keadaan ini boleh dikatakan bertuah kerana ia jarang berlaku di negara kita,” katanya.
Mengulas lanjut, Justinus menyatakan purata suhu antara pukul 2 hingga 10 pagi tadi adalah sekitar 6.9 sehingga 12.3 celsius dan disifatkan lebih sejuk daripada biasa tetapi belum dapat dipastikan sama ada bacaan suhu di Panalaban atau kawasan di atasnya lebih sejuk atau sebaliknya.
Menurut Justinus, purata kelembapan di kawasan terbabit pula sekitar 52 hingga 62 celsius bagi tempoh masa sama sekaligus menunjukkan kadar kelembapan lebih lembap daripada kebiasaanya pada bacaaan hampir 70 celsius. – KOSMO! ONLINE