PELUMBA muda negara, Khairul Idham Pawi tekad untuk beraksi pada Grand Prix (GP) San Marino penghujung minggu ini selepas mengakui cergas selepas menjalani pembedahan bagi memotong jari kelingkingnya yang sudah rosak bulan lalu.
Pelumba Petronas Sprinta Racing itu melakukan pemeriksaan di pusat perubatan di Barcelona kelmarin dan mengesahkan keadaannya semakin baik.
Bagaimanapun, pelumba Petronas Sprinta Racing itu perlu lulus ujian akhir di pusat perubatan litar bagi melayakkan dirinya berlumba di Litar Misano nanti.
“Saya ada berjumpa dengan doktor dan mengesahkan keadaan tangan saya kuat serta tidaklah begitu teruk. Saya masih merasai sedikit sakit di tempat pembedahan, tapi tidak terganggu sangat.
“Saya memang tidak sabar untuk berlumba buat kali pertama selepas menjalani pembedahan. Saya tahu saya perlu menyesuaikan diri dengan motosikal sekali lagi.
“Saya ada masa singkat sejak pembedahan tempoh hari. Jadi, saya tidak mahu meletakkan harapan tinggi pada hujung minggu ini, namun saya perlu hadapinya,” katanya menerusi kenyataan pasukan semalam.
Dua minggu lalu, Khairul atau lebih dikenali dengan julukan Super KIP menjalani pembedahan di sebuah hospital di Barcelona, Sepanyol bagi memotong jari kelingkingnya yang mengalami kecederaan berulang.
Kali pertama jari kelingkingnya mengalami keretakan serius adalah ketika sesi latihan bebas pada GP Sepanyol pada 2019 sekali gus memaksanya melupakan baki saingan musim lalu.
Dalam pada itu, pelumba berusia 21 tahun itu mengakui berasa lebih selesa berbanding keadaan memiliki jari kelingking yang cedera tempoh hari.
“Penting untuk saya berlumba agar saya dapat tahu di mana tahap kemajuan saya selepas pembedahan. Semoga jari saya lekas sembuh dan dapat mencapai peningkatan.
“Apa pun, saya tidak sabar untuk kembali bersama pasukan dan akan berlumba sekali lagi,” katanya.