fbpx

Bekas Timbalan Pengarah Kanan Dewan DBKL kekal lepas, bebas rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUALA LUMPUR 8 APRIL 2021 - Bekas timbalan pengarah kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sabudin Mohd Salleh berjalan keluar dari mahkamah selepas keputusan pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM150,000 di Mahkamah di sini, hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO / PEMBERITA: UTUSAN / KOSMO MAHKAMAH

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Pengarah Kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Sabudin Mohd. Salleh kekal dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah wang tunai RM150,000 empat tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan demikian selepas menolak rayuan pihak pendakwaan selaku perayu terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan Sabudin, 60, selaku responden daripada pertuduhan itu.

Dalam penghakimannya, Azhar berkata Sabudin kekal dilepas dan dibebaskan selepas mahkamah ini meneliti segala keseluruhan rekod rayuan, alasan penghakiman, hujahan bertulis dan lisan pihak-pihak.

“Saya mendapati bahawa mahkamah ini tiada alasan untuk mengubah atau mencampuri keputusan yang diberikan oleh Hakim Mahkamah Sesyen. Oleh itu, rayuan perayu (pendakwaan) ditolak,” kata Azhar.

Pada 13 April tahun lalu, pihak pendakwaan selaku perayu memfailkan rayuan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen pada 8 April tahun sama, yang melepas dan membebaskan Sabudin selaku responden daripada pertuduhan rasuah di akhir kes pendakwaan.

Seramai 10 saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.

Mengikut pertuduhan, Sabudin yang merupakan bekas Timbalan Pengarah Kanan (Awam) di Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar DBKL, didakwa atas pertuduhan secara rasuah menerima bagi dirinya barangan berharga berupa wang tunai RM150,000 daripada pengarah Syarikat Tegap Elit Sdn. Bhd. Chia Chee Seng.

Ia sebagai dorongan untuk tertuduh melakukan suatu perbuatan di bawah hal ehwal prinsipalnya iaitu memperakukan sijil bayaran kemajuan tuntutan yang dikemukakan oleh beberapa syarikat.

Sabudin dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Ukay Perdana, di sini, antara 13 dan 19 Ogos 2018, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah melepas dan membebaskan Sabudin selepas mendengar keterangan semua saksi dan meneliti hujah pihak pendakwaan dan pembelaan serta meneliti autoriti yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI