fbpx

Spiderman cari rezeki untuk isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHMAD SHAKIRIN memakai kostum Spiderman membuat persembahan di sisi isterinya di pekarangan pintu masuk Komtar, George Town baru-baru ini.

Oleh NOOR HASLIZA NUSI

GEORGE TOWN – Seorang pelukis jalanan memilih cara tersendiri untuk mencari rezeki dengan menyarung kostum adiwira Spiderman bagi menyara kehidupannya bersama isteri yang juga orang kelainan upaya.

Ahmad Shakirin Mohd. Zain, 51, berkata, kehidupan hariannya bersama isteri, Nuraznita Mohamad Ismail, 38, bergantung kepada sumbangan orang ramai sejak dua tahun lalu.

Katanya, hasil sumbangan ikhlas yang diperoleh setiap hari itu digunakan bagi membiayai kadar sewa bilik berjumlah RM40 sehari serta caj rawatan susulan isterinya di hospital.

“Setiap hari saya akan membawa isteri yang berkerusi roda di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Padang Kota dan Padang Brown di sini.

“Saya akan duduk beberapa jam di satu-satu lokasi dengan memakai kostum Spiderman. Di situ, saya akan menggayakan watak karakter tersebut sambil orang ramai merakam gambar dan memberi sumbangan,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Ahmah Shakirin berkata, dia membeli kostum adiwira tersebut pada harga RM150.

“Saya sudah selesa dengan apa yang dilakukan hari ini selain melukis di jalanan. Saya menganggap ini adalah sebahagian kerja yang mulia. Saya juga perlu menjiwai karakter ini sebelum dipertontonkan di hadapan khalayak.

“Cuma harapan saya sekarang adalah mahu membawa isteri berpindah ke sebuah rumah sewa yang lebih selesa memandangkan ketika ini kami tinggal di bilik yang kecil,” ujarnya yang berpengalaman dalam bidang seni lukisan sejak 30 tahun lalu.

Katanya, keadaan keluarganya berubah setelah isterinya yang juga bekas ketua cef di sebuah restoran di Kuala Lumpur terpaksa dipotong kaki kanan hingga bawah lutut akibat menghidap kencing manis tiga tahun lalu.

“Isteri kini terpaksa berkerusi roda setiap masa dan perlu diberi perhatian sepenuhnya kerana keadaannya yang hanya sebelah kaki selain menghidap darah tinggi,” jelasnya.

Katanya, Nuraznita kini hanya bergantung kepadaa bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial ­(Perkeso).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI