Oleh FAIZAL HAMID
DALAM dunia kontemporari yang mencabar dan rumit, sesuatu yang amat meyakinkan dengan pilihan fesyen yang kemas dan ringkas dalam rona hitam dan putih.
Ia lebih menarik apabila dipersembahkan dalam rona monokromatik variasi reka corak polka dot, petak, struktur jalur, grid, geometrik, blok warna dan cetakan menegak atau serong.
Kombinasi hitam dan putih menyerlahkan gaya kontemporari bersahaja, memikat, anggun dan penuh dengan keterampilan.
Trend ini terbukti antara yang paling popular dalam koleksi musim luruh 2017/ 18 rekaan pereka antarabangsa seperti Jil Sander, Sportmax, Diane von Furstenberg dan Narciso Rodriguez.
Perlu diingat, tambahan warna lain akan mengurangkan impak keseluruhan.
Oleh itu, jika bahagian leher (neckline) anda dirasakan perlu tambahan aksesori, pilihlah rekaan aksesori yang unik juga dalam rona hitam atau putih.
Sebagai pelengkap gaya, padankan kasut hitam atau putih atau kombinasi dua warna itu.
Seharusnya, gaya solekan perlu tidak berlebihan dan hanya difokuskan pada kening dan bentuk atau kontur struktur tulang wajah.
Disini disertakan panduan gaya bagaimana untuk memakai rona yang cukup chic ini.
1. Trend klasik
Kesederhanaan rona monokromatik hitam dan putih menjadikan ia trend klasik yang malar segar dan sentiasa menjadi antara trend mendominasi pilihan dalam berpakaian.
Ia cukup mudah digayakan kerana keseimbangan kombinasi hitam dan putih yang memberi impak positif dan menarik pada si pemakainya.
Rona hitam dan putih sememangnya simbol wanita klasik yang tegas dan rapi dalam penampilan.
Sama ada dipakai siang atau malam, majlis rasmi atau santai, hasilnya kombinasi kedua-duanya sentiasa tidak mengecewakan, gaya urban yang praktikal digayakan serta menjadikan kita nampak lebih muda.
2. Pelangkap gaya
Perbezaan hitam dan putih (dalam rekaan fesyen) sentiasa menjadikan bentuk tubuh lebih menarik, kurus dan dapat menyembunyikan kekurangan yang ada.
Antara gaya menarik ialah gabungan kemeja-T putih dan seluar hitam, pakaian hitam dipadankan dengan aksesori putih. Rekaan fesyen yang menggabungkan hitam dan putih paling sesuai disertakan dengan kasut hitam sebagai pelengkap gaya.
Paling istimewa, kombinasi hitam dan putih bukan hanya hebat digayakan dari hujung rambut ke hujung kaki, tetapi juga menyerlah apabila dipadankan dengan jeans biru atau aksesori berani (bold).
3. Variasi corak hitam
Bagi kombinasi reka corak berani, cuba padankan blaus dengan reka corak sederhana atau sebagai alternatif, pilih top polka dot dan skirt jalur yang kedua-duanya dalam warna hitam dan putih.
Terdapat pelbagai skirt atau seluar dalam variasi reka corak hitam dan putih di pasaran.
Paling mudah, cuba gayakannya dengan top rona polos hitam. Jika berani, cuba lengkapkan gaya dengan aksesori metalik.
Anda juga boleh mencuba padanan top atau blaus dengan reka corak hitam putih dan skirt atau seluar polos warna yang sama.
4. Padanan aksesori hitam
Bagi mereka yang gemar memakai padanan pakaian yang kesemuanya putih, apa kata tampilkan sekali padanan rona hitam dalam bentuk kasut dan aksesori.
Ia seperti kaca mata hitam, beg dan skaf untuk gaya super chic dan urban. Anda juga boleh mengaplikasikan konsep sama iaitu memadankan rekaan top dan skirt, juga seluar atau gaun dalam warna hitam dengan aksesori putih.
5. Rona ceria
Jika anda tetap mahu menambah warna lain bersama padanan hitam dan putih, pilihan tepat adalah rona semula jadi seperti coklat, perang atau metalik.
Ia bagi menyuntik rona ceria pada skaf, beg atau kasut.
Warna hitam dan putih dengan ciri-ciri potongan dan garisan kemas serta siluet yang mantap, kekal diminati kerana keistimewaannya yang boleh menjadikan sesiapa sahaja kelihatan anggun sebaik menggayakannya.
—————————————————————————————————————————————————–
FAIZAL HAMID ialah Pensyarah Kanan Jabatan Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam,Selangor.