GEORGE TOWN – Pasukan Putrajaya Cyborg sekadar berputih mata apabila tewas di tangan Johor Tigris 0-2 dalam saingan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 di Spice Arena, Bayan Baru di sini, petang tadi.
Pada awal set pertama, Johor Tigris tidak malu-malu untuk mendahului mata 7-3 setelah 9 minit perlawanan bermula.
Tidak menunggu lama, Putrajaya Cyborg cuba menyamakan kedudukan apabila killer Muslim Ramli melibas tajam ke arah Tigris dan berjaya memperoleh mata 9-9.
Asakan yang dilakukan Tigris ke atas Cyborg nyata membuahkan hasil apabila meninggalkan pasukan yang ingin dikenali sebagai pasukan ‘underdog’ itu dengan kutipan mata 17-13.
Seakan tertekan, Cyborg sedaya upaya mengutip mata namun dipancung Tigris yang semakin galak memungut mata 20-16.
Set pertama dimenangi Tigris 21-16 setelah menempuh hampir setengah jam perlawanan.
Permulaan set kedua menyaksikan Tigris mempergiat rentak permainan apabila berjaya memungut mata 8-4 ke atas Cyborg.
Meskipun agak ketinggalan, Cyborg terpaksa menggandakan serangan ke atas Tigris, namun sekadar memperoleh mata 8-12 dan beberapa ketika kemudian dilihat hampir merapatkan jurang kepada 13-14.
Tigris terus menghukum Cyborg di gelanggang apabila sedikit demi sedikit mengutip mata 19-16.
Set kedua menyaksikan Johor Tigris memenangi perlawanan dengan kutipan mata 21-17. – KOSMO! ONLINE