fbpx

Azan, lampu suluh jadi penyelamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
anggota APMM memapah salah seorang mangsa bot karam untuk dibawa ke hospital di Jeti APMM Bukit Malut, Langkawi kelmarin.

LANGKAWI – “Ketika terapung di tengah laut, kami nampak beberapa bot lalu dan kami menje­rit me­minta tolong, namun mereka tidak dengar.

“Berbekalkan semangat dan sisa tenaga yang ada, kami melaungkan azan beberapa kali serta menghalakan lampu suluh kepada sebuah bot nelayan lain sebelum mereka nampak dan menyelamat kami.”

Detik cemas itu dialami 18 pemancing termasuk empat kru sebuah bot yang terapung selama lima jam selepas bot yang mereka naiki karam dipukul ombak setinggi lima meter dalam kejadian di kedudukan 17 kilometer ke barat Pulau Basah Beras di sini kelmarin.

Kejadian pada pukul 2.15 petang itu berlaku apabila bahagian hadapan bot pecah menyebabkan ia karam sepenuhnya dalam tempoh 45 minit.

Salah seorang mangsa, Mohd. Syahrin Samsudin, 43, berkata, selepas memakai jaket keselamatan, mereka bersepakat untuk tidak berpisah ketika ter­apung sebelum mengubah fikiran apabila mendapati hari semakin gelap.

Katanya, mereka berusaha menyelamatkan diri kerana ma­sing-masing saling memberikan semangat sebelum berpecah untuk mendapatkan bantuan daripada mana-mana bot yang melalui kawasan itu.

“Sudah puas kami menjerit ke arah mana-mana bot nelayan yang lalu tetapi mereka tidak menyedari kelibat kami.

“Kami kemudian melaungkan azan beberapa kali dan menghalakan lampu suluh ke arah sebuah bot sehingga mereka nampak dan menyelamatkan kami pada pukul 7.15 malam,” katanya ketika ditemui di Jeti Maritim Malaysia (APMM) Bukit Malut di sini.

Berita berkaitan: 18 kru, pemancing disahkan selamat

Menurut Mohd. Syahrin, nelayan bot itu membalas suluhan lampu ketika mereka hanyut di kedudukan 18 kilometer ke barat Pulau Singa Besar di sini. Jarak antara dua lokasi itu kira-kira 12 kilometer.

“Mungkin Allah bagi petunjuk pada bot nelayan tersebut setelah kami melaungkan azan. Sebelum itu ada juga bot yang lalu tetapi tidak nampak kami,” ujarnya.

Ujar Mohd. Syahrim, mereka turun ke laut dari Jeti Kuala Perlis, Perlis pada pagi Khamis lalu dan dijadualkan pulang keesokan harinya.

Sementara itu, tekong bot Empayar Mahsuri, Baseri Aziz, 55, berkata, dia menggantikan petugas lain yang mempunyai urusan lain ketika kejadian.

“Ombak terlalu kuat melebihi lima meter, jadi perjalanan bot tidak boleh laju iaitu antara tiga hingga empat knot sahaja.

“Bot karam apabila papan hadapan bot pecah menyebabkan air masuk dengan cepat,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah APMM Kedah, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, kesemua mangsa dibawa ke jeti pada pukul 11.45 malam menaiki Kapal Ma­ritim Tenggol dan Bot Penyelamat 5.

“Dua pemancing dikejarkan ke Hospital Sultanah Maliha di sini kerana mengalami kekejangan otot kaki dan cedera pada ta­ngan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI