KERINDUAN terubat. Perasaan sedemikian yang terzahir pada wajah semua tetamu yang hadi menyaksikan persembahan sulung tahun 2022 penyanyi bersuara gemersik, Misha Omar menjayakan makan malam amal Bunga-Bunga Cinta di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, 19 Februari lalu.
Bijak berkomunikasi dengan senyuman yang jarang lekang di bibir, Misha atau nama sebenarnya Samihah @ Aisah binti Omar menguakkan introduksi persembahannya menerusi medley lagu Sembunyi dan Dedebu Cinta sebelum menyampaikan lagu popular terkininya, Tanpa Rela.
Sesekali Misha, 40, berseloroh bahawa staminanya menyanyi di atas pentas tidak seperti zaman bujang, namun ternyata, itu bukan alasan.
Sepanjang persembahan dia sentiasa memberikan kualiti terbaik demi para peminat yang dianggarkan berjumlah sekitar 200 orang pada acara makan malam amal tersebut.
Persembahan diteruskan dengan medley lagu nyanyian asal idolanya, mendiang Whitney Houston iaitu Run To You, I Have Nothing dan One Moment In Time.
Sesekali menjadi saksi Misha menyanyikan lagu orang lain, terutama karya berbahasa Inggeris, ada getar yang merinding di dada. Sesuatu yang jarang berlaku.
Masih ampuh
Sungguhpun begitu, itulah magis dicernakan seorang penyanyi yang kepakaran instrumen utamanya iaitu vokal. Campaklah apa sahaja lagu, pasti akan dijayakan sepenuh jiwa.
Terus membuai emosi penonton, Misha mendendangkan dua lagu berhantunya secara medley iaitu Pulangkan dan Ku Seru sebelum terus melunakkan jiwa penonton yang hadir dengan medley lagu-lagu biduanita negara, Allahyarham Sharifah Aini.
Misha ketika ditemu bual media yang hadir memaklumkan, sebagai seorang figura popular, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk terus bekerja biarpun dihempas permasalahan Covid-19.
Isteri kepada Firoz Ezzwan Rossly itu percaya, usaha murninya melunaskan persembahan secara eksklusif juga memberi ruang rezeki buat orang ramai terutama golongan yang menjawat profesi dalam dunia seni muzik.
“Tahun lepas di Istana Budaya dan tahun ini, dapat lagi buat persembahan begini. Sebagai seorang penyanyi, buat persembahan secara ‘live’ dan dihadiri peminat merupakan peluang yang tidak patut dilepaskan. Tambah lagi, ini untuk tujuan amal.
“Saya berharap, usaha ini sekurang-kurangnya dapat membantu golongan yang memerlukan. Saya percaya ramai yang terkesan dari segi ekonomi disebabkan apa yang sedang berlaku sekarang, termasuk kes Covid-19 semakin meningkat.
“Kutipan dana malam ini akan disalurkan buat artis-artis veteran yang memerlukan. Acara begini juga membuka peluang pekerjaan untuk ahli muzik yang sudah lama tidak bekerja disebabkan pandemik. “Saya percaya, apabila kita jadi sebahagian daripada satu tujuan baik, kita juga akan berasa impaknya,” katanya.
Ambil waktu berehat
Pada malam persembahan, pemegang lapan trofi Anugerah Juara Lagu itu turut mendendangkan lagu popularnya yang lain iaitu Sampai Bila dan medley penutup, Halaman Cinta, Semoga Abadi dan Cinta Adam & Hawa.
Pintu persembahan sepatutnya dinoktahkan sekitar pukul 11 malam namun menjadi kelaziman, nama Misha dilaung-laungkan dengan pekikan ‘we want more’ daripada penonton. Ternyata masih ada hutang yang tidak dilunaskan dan audiens mahukan keadilan.
Judul lagu yang turut menjadi tajuk persembahan iaitu Bunga-Bunga Cinta menyaksikan Misha kembali di atas pentas dan meleraikan ‘kerinduan’ seketika penonton.
“Sekitar dua jam durasi persembahan, Misha ternyata, masih berada pada kelas tersendiri.
Ditanya tentang perkembangan kerjaya muzik terbaharu, Misha buat masa sekarang sedang berehat seketika daripada sebarang peluncuran single baharu kerana ingin memberi tumpuan tentang perancangan keluarga.
“Dari segi kerjaya nyanyian, saya sebenarnya agak ‘clueless’. Dalam waktu pandemik sekarang, saya rasa kali ini, tidak mengapa rasanya ambil masa sedikit.
“Saya pernah lalui betapa susahnya mempromosikan sesebuah lagu baharu. Tak mengapa kita tunggu dahulu dan tak mengapa kita berehat sebentar,” ujarnya.
Misha turut mendedahkan bahawa berehat seketika daripada ‘bergerak aktif’ kerana sedang menjalani rawatan kesuburan untuk hamil.
“Ya, berehat sekejap sebab nak sambung jalani rawatan kesuburan. Kalau ada berita baik nanti, saya sendiri akan uar-uarkan. Harap semua mendoakan yang terbaik,” ulasnya.
Mohon maaf
Terlanjur mengatur bicara tentang proses menjalani rawatan kesuburan, Misha menyedari ada segelintir wanita yang berhasrat menjadi ibu berkecil hati dengan perkongsian dirinya sebelum ini.
Sehubungan itu, Misha memohon maaf sekiranya ada mana-mana wanita yang terguris dengan pendedahan dirinya menjalani rawatan kesuburan.
“Dahulu saya kongsi secara terang-terangan, ada juga wanita yang sedang ‘struggle’ (berdepan kesusahan) untuk dapatkan anak terasa hati.
“Saya faham, apabila bercakap tentang usaha mendapatkan zuriat, semua orang mudah sensitif.
“Tapi saya nak ingatkan, perkongsian saya sebelum ini hanya untuk mewujudkan kesedaran.
“Mungkin apa yang saya kongsikan sebelum ini melukakan hati mana-mana wanita yang sedang berusaha keras untuk mendapatkan anak.
“Saya minta maaf, cuma saya nak ingatkan, artis atau bukan, kita semua berkongsi kesusahan sama,” katanya.
Dia juga enggan bercerita berlebih-lebihan demi menghormati perasaan wanita yang sedang berusaha keras untuk hamil.
Tambah Misha, proses kehamilan selebriti seperti Neelofa dan Datuk Seri Siti Nurhaliza juga sesuatu wajar dijadikan inspirasi.
“Saya juga nak cakap yang kalian tidak keseorangan. Saya puji pendekatan Neelofa. Dia diam sahaja tapi ‘know know’ Bilal keluar.
“Tengok juga betapa berjayanya Datuk Seri Siti Nurhaliza. Betapa sabarnya beliau melalui setiap kegagalan menunggu 11 tahun sehinggalah lahirnya Aafiyah,” tutupnya.