PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk memastikan kit makanan mencukupi di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri-negeri yang terjejas banjir.
Menerusi ciapan di Twitter, beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) turut diarahkan untuk membantu mencegah penularan wabak Covid-19 di PPS.
“Sejak semalam, Nadma serta agensi menyelamat seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam telah dikerahkan bagi kerja-kerja pemindahan mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan.
“Amaran berterusan juga telah dikeluarkan sejak semalam bagi memastikan penduduk bersiap sedia untuk dipindahkan,” ciapnya hari ini.
Pada masa sama, Ismail Sabri memberitahu, JBPM sedang melakukan kerja-kerja menyelamat bagi memastikan proses evakuasi mangsa dilaksanakan dengan lancar.
Menurut beliau, beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu terutamanya di Hulu Terengganu mengalami banjir teruk.
Berita berkaitan: Pahang antara lima negeri diramal alami cuaca buruk
“Saya minta mangsa supaya berpindah ke PPS atau tempat yang selamat untuk keselamatan diri dan keluarga.
“Sama-sama kita doakan keadaan banjir segera pulih dan mangsa dapat pulang ke kediaman masing-masing,” katanya. – KOSMO! ONLINE