PETALING JAYA – 18 sungai di Terengganu dan Kelantan dilaporkan melebihi paras bahaya setakat pukul 2 petang hari ini ekoran hujan lebat berterusan yang melanda sejak dua hari lepas.
Menerusi laman web rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), kebanyakan paras sungai di dua negeri itu dilihat melebihi tahap amaran dengan trend paras air meningkat.
Di Terengganu, paras air Sungai Besut di jambatan Keruak kini melebihi paras bahaya dengan catatan 38.16 meter (m) melebihi paras normal 28.5, manakala di Kampung La, Besut di paras 24.58m.
Selain itu, paras air Sungai Nerus di Kampung Bukit dan Kampung Langkap, Setiu juga dilaporkan melebihi tahap bahaya dengan bacaan masing masing 22.65m dan 14.57m.
Paras Sungai pula Dungun didapati turut melebihi paras amara di Kampung Pasir Raja dengan bacaan 38.98m, Kuala Jengai (24.09m) dan Jambatan Jerangau (12.82m).
Dalam pada itu, sungai Tebak, Kemaman di Jambatan Tebak, Jambatan Air Putih dan Sungai Kemaman di rumah Pam Paya Paman kini sudah melebihi paras bahaya apabila masing-masing mencatatkan 18.51m, 14.82m dan 4.97m.
Paras air Sungai Berang di Kampung Menerong, Hulu Terengganu dan Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu turut dilaporkan melebihi paras bahaya.
Di Kelantan, paras sungai di Kampung Sungai Nal, Kuala Krai turut melebihi paras bahaya dengan catatan 26.59, manakala Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah dilaporkan melebihi paras bahaya dengan paras air 26.69 meter.
Selain itu, sungai Kelantan di Kampung Temangan, Machang, turut melebihi paras bahaya dengan bacaan 21.70m.
Sementara itu di Sarawak pula, sungai di Long Akah, Miri turut mencatatkan bacaan 24.47m melebihi paras bahaya.
Terdahulu, MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan kategori buruk dan waspada membabitkan Kelantan, Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu Kuala Terengganu dan Marang) serta Perak (Hulu Perak) berkuatkuasa sehingga hari ini. – KOSMO! ONLINE