SELEPAS lima hari dilahirkan, penyanyi terkenal Indonesia Krisdayanti akhirnya memuat naik gambar swafoto atau selfie pertama bersama cucunya.
“Alhamdulillah, perkenalkan cucu kami Ameena Hanna Nur Atta,” tulis Krisdayanti dalam akaun Instagramnya semalam.
Ameena merupakan cucu sulung Krisdayanti hasil perkahwinan anaknya Aurel Hermansyah dengan pensohor media sosial terkenal Indonesia, Atta Halilintar.
Dalam pada itu, Atta menerusi Instagram menjelaskan maksud di sebalik pemilihan nama anak sulungnya itu.
“Ameena Hanna Nur Atta. Ameena membawa maksud terpercaya dan setia yang terinspirasi daripada nama ibu Nabi Muhammad SAW. Perempuan hebat yang melahirkan manusia paling mulia.
“Hanna pula membawa erti kebahagiaan dan kegembiraan. Nur bererti cahaya keluarga kami dan nama ibu hebatnya. Sementara binti Atta merupakan nama keberuntungan keluarga ini,” tulis Atta.
Ameena yang dilahirkan di sebuah pusat perubatan Jakarta pada 22 Februari lalu merupakan cucu sulung buat keluarga Aurel dan Atta.
Dalam perkembangan lain, Atta turut mewujudkan Instagram khas buat puteri sulungnya itu iaitu @ameenaatta.
Akaun tersebut telah memiliki 562,000 pengikut sejak dilancarkan semalam. Aurel dan Atta mendirikan rumah tangga pada 3 April tahun lalu. – KOSMO! ONLINE