KOTA BHARU – Banjir yang melanda Kelantan bertambah buruk apabila seramai 3,871 mangsa telah ditempatkan di 38 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah di negeri ini.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat pukul 10 pagi tadi, Pasir Mas merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu seramai 2,706 diikuti Kuala Krai (458), Tanah Merah (353), Jeli (268) dan Pasir Puteh (86).
Sementara itu, laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan, hanya dua batang sahaja yang masih berada di paras bahaya iaitu Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah dan Sungai Temangan, Machang.
Bagaimanapun Sungai Kelantan di Kuala Krai, Kusial, Tanah Merah dan Tambatan Diraja, Kota Bharu berada pada paras amaran.
Sementara itu, Sungai Lebir di Kuala Krai, Sungai Karangan (Kuala Krai), Sungai Lanas (Jeli), Sungai Air Bol (Jeli), Sungai Kelantan (Jeti Kastam Kota Bharu), Sungai Semerak (Pasir Puteh) dan Sungai Pasir Puteh (Pasir Puteh) berada pada paras waspada, namun menunjukkan peningkatan.
Dalam pada itu, menurut portal eBanjir Kelantan, tiga jalan ditutup kepada kenderaan ringan di Tanah Merah, iaitu Jalan Panglima Bayu-Rantau Panjang, Jalan ke Loji Membersih Air Bukit Remah dan Jalan Tanah Merah-Kusial-Kampung Ipoh. – KOSMO! ONLINE