fbpx

Pelajar mahu pulang, cemas bunyi letupan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DINI (tengah) bersama rakan-rakannya bergambar kenangan selepas selesai Majlis Konvokesyen Kursk State Medical University bagi jurusan perubatan baru-baru ini.

PETALING JAYA – Rakyat Malaysia yang berada di Rusia ha­nya memikirkan untuk pulang susulan perang yang tercetus dengan Ukraine ketika ini.

Kehadiran jet dan kelibat beberapa jentera tentera memasuki kawasan utama bandar jelas mendatangkan ketakutan kepada mereka.

Seorang graduan perubatan di Kursk State Medical University, Dini Elissyakira Hairul Nizam, 25, berkata, kawasan tempat tinggal mereka masih selamat ekoran terletak kira-kira 100 kilometer dari sempadan barat Rusia.

“Bagaimanapun, kami masih dapat mendengar bunyi jet dan letupan. Pasukan tentera juga membuatkan keadaan bertambah getir dan menakutkan.

“Saya bersyukur kerana konflik itu tidak menjejaskan perjalanan kami (pelajar Malaysia) untuk pulang ke tanah air hari ini (semalam) dengan menaiki pesawat Qatar Airways,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad.

Menurut Dini Elissyakira, beberapa lapangan terbang di Rusia yang berdekatan dengan Ukraine dilaporkan telah ditutup.

Sementara itu, pelajar tahun ketiga jurusan perubatan di universiti sama, Alya Al Sadat, 23, berkata, ia merupakan pe­ngalaman pertamanya berada dalam zon perang.

“Kali pertama dengar bunyi tembakan jet pertahanan saya rasa risau. Bagaimanapun, pasukan keselamatan memantau dan memastikan penduduk dan orang asing di Bandar Kursk dilindungi,” katanya.

Menurut Alya, pihak kedutaan memberi notis supaya pelajar Malaysia berhubung terus dengan pengurusan universiti untuk persiapan seterusnya terutama mengenai proses pembelajaran.

“Tiada sekatan daripada pihak berkuasa dan kedutaan sentiasa berhubung dengan kami untuk mengemas kini perkembangan serta perubahan semasa,” katanya.

Muhammad Ridhwan Sapiee, 22, pula menceritakan, keluarganya di Malaysia te­rus menghubunginya sebaik sahaja berita mengenai perang meletus tersebar.

“Mereka bimbang keselamatan saya di sini dan saya membe­ritahu semua masih selamat.

“Mereka ingatkan saya supaya berhati-hati dan tidak mengikut aktiviti tunjuk pe­rasaan di Moscow,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI