KEMAMAN – Seorang wanita bukan sahaja menjadi mangsa keganasan rumah, malah terpaksa menanggung derita akibat penyakit injap jantung bocor sejak lima tahun lalu.
Che Wan Fatimah Che Wan Hamid, 36, berkata, penyakit itu menyebabkan dia tidak mampu bekerja dan terpaksa bergantung harap kepada ibu bapanya yang sudah uzur.
Sebelum ini ujarnya, dia dan tujuh anaknya berusia 11 bulan hingga 16 tahun menetap di Gombak, Selangor sebelum pulang ke pangkuan orang tua di Kampung Titian Berayun, Kijal kira-kira sembilan bulan lalu selepas bercerai.
“Saya menjadi mangsa keganasan rumah tangga sebelum nekad meminta cerai dan melaporkan perbuatan suaminya kepada pihak berkuasa.
“Kalau ikutkan, saya tidak mahu menyusahkan bapa, Che Wan Hamid Mohamad, 81, dan ibu, Kesom Salleh, 71, yang sudah semakin uzur.
“Sedih mengenangkan ayah yang terpaksa memerah keringat tua menjadi nelayan bagi mencari rezeki buat kami anak-beranak,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di Kampung Titian Berayun, Kijal di sini baru-baru ini.
Che Wan Fatimah mengakui kehidupan mereka 10 beranak ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
“Kesempitan hidup memaksa saya membancuh susu pekat manis sebagai ganti susu formula buat dua anak kecil saya yang berusia 11 bulan dan tiga tahun.
“Kami juga makan ala kadar asalkan boleh mengisi perut. Kadangkala terputus wang untuk membeli barang keperluan seperti lampin pakai buang untuk anak-anak,” katanya.
Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan bantuan menerusi akaun bank milik Che Wan Fatimah bernombor 1220-7020-1488-36 (Bank Islam) atau menghubunginya di talian 011-2692 1315.