KUALA LUMPUR – Pelari pecut muda negara, Muhammad Arsyad Md. Saat kembali menghidupkan arena olahraga tanah air apabila muncul atlet terbaharu layak ke Sukan SEA di Hanoi, Vietnam yang akan bermula 12 hingga 23 Mei depan.
Arsyad, 20, melepasi had kelayakan ditetapkan untuk acara 100 meter (m) selepas mencatat masa 10.48 saat (s) pada peringkat separuh akhir Kejohanan Olahraga Perak Allcomers di Stadium Perak, Ipoh hari ini.
Hasrat Arsyad untuk mencetak masa lebih baik tidak kesampaian apabila dia terpaksa berlari dalam keadaan hujan apabila mencatatkan 10.59s untuk menjuarai aksi final kejohanan itu.
Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sebelum ini menjelaskan syarat kelayakan ke Sukan SEA Hanoi adalah sekurang-kurangnya tiga tempat teratas sewaktu edisi terakhir di Manila, Filipina pada 2019.
Ia sekali gus melayakkan Arsyad kerana catatan 10.48s itu telah melepasi masa dimenangi pemenang pingat perak dan gangsa edisi 2019 oleh dua atlet Thailand, Ruttanapon Sowan (10.49s) dan Bandit Chuangchai (10.50s).
Pingat emas ketika ini menjadi milik jaguh pecut negara, Muhammad Haiqal Hanafi dengan catatan 10.35s sekali gus mempertahankan gelaran dimenangi Khairul Hafiz Jantan sewaktu Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Jurulatihnya, Mohd. Poad Kassim gembira dengan prestasi anak didiknya itu yang kini sudah mula menunjukkan potensi sebenar walaupun terpaksa berdepan kesulitan berlatih secara bersendirian di Johor.
“Saya gembira dengan catatan masa yang ditunjukkan Arsyad. Dia ada potensi untuk pergi jauh jika dapat perbaiki lagi dari segi aspek larian dan diberikan lebih pendedahan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Nama Arsyad mula dikenali selepas menewaskan dua pelari kebangsaan, Jonathan Nyepa dan Muhammad Zulfiqar Ismail untuk muncul juara Kejohanan Grand Prix Malaysia di Bukit Jalil tahun lalu.
Selain Arsyad, pemegang rekod 200m kebangsaan yang berpangkalan di Australia, Russel Alexander Nasir Taib juga sudah melayakkan diri bagi acara 100m dengan catatan 10.46s dilakukan di Brisbane hujung tahun lalu. – KOSMO! ONLINE