fbpx

‘Pelanggan satu dalam 1,000’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video memaparkan sebuah keluarga bertindak mengemas meja makan dan membersihkannya daripada sisa makanan yang tertumpah sebelum meninggalkan kedai

PETALING JAYA – Tindakan sebuah keluarga yang mengutip sisa, menyusun pinggan serta mengelap meja semula selepas mereka selesai menjamu selera di sebuah kedai makan telah menerima pujian orang ramai.

Ini kerana, tidak semua individu mampu melakukan perkara seperti itu kerana masih ramai yang gemar meninggalkan meja makan dalam keadaan kotor dan bersepah.

Sikap bertanggungjawab keluarga tersebut sempat dirakam oleh @fruitkingofficial2 dan telah dikongsikan di media sosial.

Sehingga kini, video berkenaan telah menerima lebih 200,000 tontonan.

Menurut perakam, keluarga itu pada mulanya singgah di kedai makan tersebut untuk menjamu selera.

Apa yang menarik perhatian ramai apabila beberapa orang ahlinya bertindak membersihkan meja yang digunakan selepas selesai makan.

Sementara itu, kelihatan seorang wanita pula sedang mengutip sisa-sisa makanan yang bertaburan di atas meja dan diletakkan ke dalam pinggan kotor yang telah pun siap disusun.

Selain itu, kerusi yang digunakan juga ditolak semula masuk ke bawah meja dengan keadaan yang kemas.

Dalam pada itu, pengguna media sosial yang lain turut kagum dengan tindakan mereka sekeluarga setelah menonton video tersebut dan rata-ratanya memuji mereka.

“Ini dikatakan pelanggan bijak, bukan jenis pengotor, memang pelanggan satu dalam 1,000,” komen Asyraf Rafael.

“Sepatutnya memang macam ini, memang kita bayar, tapi kita bayar harga makanan, bukan harga mengemas, bertimbang rasa la juga bila bawa anak-anak kecil ke kedai makan, jangan biarkan mereka sepahkan makanan atas meja, kemudian terus balik,” kongsi Zainal Wahab.

“Alhamdulillah, saya pun selalu buat macam ini juga, senang hati apabila pekerja kedai nak angkat, kita mudahkan kerja orang, Allah mudahkan kerja kita,” kata Fieza. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI