WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) menyatakan bahawa Washington akan melaksanakan sekatan terhadap Presiden Vladimir Putin dan Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov sekali gus mengikuti langkah serupa oleh Britain serta Kesatuan Eropah (EU) susulan serangan Moscow ke atas Ukraine.
Setiausaha Akhbar White House, Jen Psaki berkata, larangan perjalanan akan menjadi sebahagian daripada sekatan terhadap kedua-dua pemimpin tersebut.
Mengulas mengenainya, jurucakap Kementerian Luar Rusia, Maria Zakharova berkata, langkah tersebut menyebabkan hubungan Rusia dan Barat mustahil untuk pulih kembali.
Tindakan terbaharu AS itu meningkatkan lagi senarai sekatan sedia ada termasuk ke atas empat bank Rusia, membatalkan lebih separuh import teknologi Rusia dan menyasarkan sebilangan golongan elitnya.
Setiausaha akhbar White House, Jen Psaki juga mengumumkan kelmarin bahawa sekatan AS akan turut dikenakan ke atas Dana Pelaburan Langsung Rusia yang merupakan dana milik negara.
Jabatan Negara AS juga mengenakan sekatan terhadap Menteri Pertahanan Rusia Sergei Shoigu dan Timbalan Menteri Pertahanan Pertama merangkap Ketua Angkatan Tentera Rusia, Valery Gerasimov.
Kedua-dua mereka menyertai 11 anggota Majlis Keselamatan Rusia yang telah dikenakan sekatan oleh Jabatan Perbendaharaan AS.
Di Brussels, pakej sekatan EU telah diluluskan oleh pemimpin-pemimpin blok berkenaan dalam satu sidang kemuncak kelmarin.
Sekatan EU itu menyasarkan sektor kewangan, tenaga dan pengangkutan Rusia di samping menghalang rakyat Rusia daripada menyimpan sejumlah besar wang di bank-bank EU.
Perkembangan itu menyaksikan bilangan warga Rusia yang dikenakan sekatan termasuk dilarang daripada memasuki EU dan aset mereka di EU dibekukan, semakin meningkat. – AFP