KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut apabila kereta yang dipandu secara melawan arus bertembung dengan sebuah kenderaan dalam kemalangan di Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) di sini, awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, kemalangan itu berlaku pada pukul 1 pagi di kilometer(km) 6.2 arah Hartamas menghala Plaza Tol Pantai.
“Lelaki berusia 28 tahun memandu kereta jenis Perodua Axia itu telah membuat pusingan U di Plaza Tol Pantai lalu memandu secara melawan arus sebelum bertembung dengan sebuah Proton Saga di lorong paling kiri.
“Kemalangan itu menyebabkan pemandu Perodua Axia mengalami kecederaan parah di bahagian dada dan dilaporkan maut di lokasi kejadian.
“Lelaki yang memandu Proton Saga, berusia 25 tahun pula telah dihantar ke Hospital Pantai Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Sarifudin, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan(APJ) 1987.
“Saksi kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 032071 9999, atau Hotline JSPT 0320260267/69 untuk membantu siasatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.