PETALING JAYA – Sekumpulan pelancong berkongsi detik cemas apabila bot yang mereka naiki terpaksa meredah ombak besar ketika dalam perjalanan pulang dari Pulau Perhentian, Terengganu.
Menerusi video yang dimuat naik oleh @Uncle-maleek di media sosial, dia bersama beberapa penumpang lain berdepan situasi mendebarkan itu di laut ketika berlaku angin yang kuat.
Dalam rakaman tersebut, pemandu bot yang dinaiki mereka juga berusaha mengawal pergerakan bot dengan baik agar tidak berlaku sebarang kemalangan di laut.
Sementara itu, menjengah ke ruangan komen, orang ramai turut memberi pelbagai reaksi dan ada juga yang berkongsi pengalaman yang sama apabila pergi bercuti ke pulau tersebut baru-baru ini.
“Sekarang ini musim angin monsun Timur Laut, aktiviti pantai tak sesuai untuk negeri di sekitar sana, bahaya dengan keadaan ombak besar macam ini,” kata Amni.
“Kami pun berdepan situasi yang sama, memang dah risau dengan ada anak kecil atas bot, ombak besar, angin kuat, hanya Allah sahaja tahu perasaan takut masa itu,” luah Suzila Alias.
“Mujur tekong pandai kawal bot, kalau jenis tak biasa, boleh terbalik dalam keadaan laut macam ini,” ujar Shairul. – KOSMO! ONLINE