PETALING JAYA – Pelakon senior Haeriyanto Hassan dikejarkan ke sebuah pusat perubatan di ibu negara disebabkan serangan strok pagi tadi.
Perkara tersebut dimaklumkan adik iparnya yang juga seorang penyanyi, Oja atau nama sebenarnya, Daninas Huza Daud, 43.
“Abang ipar saya dikejarkan ke Hospital Ampang disebabkan serangan strok ringan. Selepas menerima keputusan, ada darah beku berukuran tiga hingga empat sentimeter (sm) di kepalanya.
“Sekarang dia makan pakai tiub dan bahagian badan sebelah kirinya susah bergerak.
“Bagaimanapun, doktor memaklumkan bacaan tekanan darahnya sekarang semakin baik. Kena tunggu keadaannya betul-betul okey, baru boleh jalani pembedahan namun mungkin di Hospital Kuala Lumpur,” kata Oja ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Ujar pelantun lagu Dasira itu lagi, abang iparnya sebelum ini tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan namun mengadu mengalami sakit kepala sejak tiga empat hari lalu.
“Dia memang sihat walafiat sebelum ini. Tiada sejarah penyakit kronik cuma dia masalah semput, itu sahaja.
“Bagaimanapun, beberapa hari lepas dia mengadu sakit kepala dan cara pertuturannya tidak berapa jelas.
“Sepatutnya, dia menjalani pembedahan semalam namun keadaan tidak berapa stabil jadi kita tunggu ‘update’ daripada doktor untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya lagi.
Percaya dengan kuasa doa, Oja mengharapkan semua pihak mendoakan agar kesihatan Haerieyanto yang juga pelakon drama bersiri Kampung People 2, segera pulih.
“Dalam situasi sekarang, hanya doa kalian semua sahaja yang kami harapkan.
“Abang ipar masih terikat dengan beberapa projek lakonan dan dengan keadaan kesihatannya itu, saya berharap syarikat produksi dapat memahami situasinya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE