fbpx

373 mangsa banjir dipindahkan di Kuala Krai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian mangsa banjir di Kuala Krai yang telah berpindah ke PPS SK Sungai Embak pagi ini.

KUALA KRAI – Seramai 373 mangsa banjir telah dipindahkan ke lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di sini setakat pagi ini selepas rumah mereka ditenggelami banjir ekoran hujan berterusan sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohamed berkata, kesemua mangsa banjir mula dipindahkan sejak pukul 10 malam tadi dan masih ada lagi yang sedang berpindah ke PPS ketika ini.

Katanya, antara kawasan yang terlibat di Kampung Manik Urai, Chenulang dan Chuchoh Puteri di sini.

“Jumlah mangsa banjir yang akan ditempatkan di PPS dijangka akan meningkat kerana ramai yang sedang menunggu untuk berpindah.

“Mangsa banjir di daerah ini dipindahkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Embak, SK Chenulang, Pusat Komuniti Chuchoh Puteri A, Masjid Lama Keroh, Madrasah Chuchoh Puteri A, Pejabat Veterinar, SK Banggol Guchil dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Kuala Krai,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari.

Suzaimi memberitahu, polis sedang menjalankan operasi membantu memindahkan mangsa banjir berikutan paras air semakin meningkat.

Katanya, semua penduduk dinasihatkan mendengar arahan pihak berkuasa apabila diarahkan berpindah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Ganti Jimmy berkata, enam laluan kampung di Machang ditutup kepada kenderaan selepas ditenggelami air.

Katanya, antara laluan yang tidak boleh dilalui semua kenderaan di jalan utama ke Kampung Tok Kaya, Pulai Chondong sejauh 300 meter dengan kedalaman air 0.5 meter.

“Jalan Kampung Buncit turut ditenggelami air sejauh 300 meter. Selain itu empat laluan kampung sudah dibuka apabila paras air semakin menurun ketika ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI