PETALING JAYA – Setiap ujian yang dihadapi dalam kehidupan ini mampu menjadikan seorang insan itu lebih kuat dan tabah.
Terdahulu tular kisah seorang pemuda yang dikenali dengan nama Muhd. Fareast memuat naik sebuah video di TikTok meluahkan rasa sedih dan kecewa apabila secara tiba-tiba dihalau oleh tuan rumah ketika sedang bekerja.
Dakwanya, tuan rumah tersebut telah mengarahkannya keluar dari rumah sewa berkenaan dengan kadar segera tanpa sebarang notis pemberitahuan.
Lebih menyedihkan, apabila tuan rumah didakwa turut mengugut tidak akan memulangkan semula bayaran deposit rumah kepadanya.
Tambahnya lagi, apabila ditanya alasan dia diperlakukan seperti itu adalah kerana terdapat penyewa lain yang ingin tinggal di rumah tersebut.
Video yang dikongsikan itu mendapat perhatian meluas pengguna media sosial dan rata-rata mereka bersimpati dengan kejadian menimpa pemuda itu.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang menawarkan pelbagai bantuan termasuk mengajak Fareast untuk tumpang tinggal bersama mereka di rumah.
Sementara itu, ada juga pengguna memberi reaksi kurang senang dengan tindakan tuan rumah tersebut kerana dikatakan tidak profesional apabila dengan sewenang-wenangnya menghalau penyewa tanpa sebab.
Namun, selepas video yang dikongsikan pemuda itu mendapat sokongan ramai, akhirnya tuan rumah bertindak menghubunginya semula untuk menyerahkan wang deposit rumah sewa.
Menerusi video terbaharu yang dimuat naiknya kemarin, dia memaklumkan tuan rumah telah mewakilkan anaknya untuk memulangkan semula bayaran penuh deposit.
“Alhamdulillah, dah selesai dan akhirnya tuan rumah dah serahkan keseluruhan deposit rumah sewa.
“Bila dapat tahu dapat semula bayaran tersebut, bersyukur sangat,” katanya.
Selain itu, terdapat pengguna yang mengikuti kisah pemuda itu turut bersyukur apabila dia berjaya mendapatkan keadilan dan haknya semula.
“Rasanya kalau video lepas tak tular, mesti tuan rumah senyap, sebab itu penting juga kuasa viral untuk kita bantu orang yang ditindas,” ujar Nurul Azalia.
“Alhamdulillah, kan bagus kalau selesai dengan cara macam ini, anaknya pun sopan sahaja cakap siap minta maaf daripada pihak ayahnya, yang penting dapat semula deposit,” ujar seorang pengguna. – KOSMO! ONLINE