LEBIH daripada 800 atlet olahraga Malaysia akan berkampung di Ipoh, Perak minggu ini yang dianggap medan terbaik buat mereka untuk memburu slot secara merit menjelang temasya Sukan SEA Hanoi, Vietnam yang membuka tirai pada Mei depan.
Kejohanan Olahraga Perak All-Comers berlangsung hari ini dan berakhir Ahad dianggap peluang terbaik semua atlet kebangsaan mahupun remaja untuk memburu tempat ke Sukan SEA Hanoi sebelum senarai nama diputuskan oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).
Presiden Persatuan Olahraga Perak, Datuk Karim Ibrahim berkata, kejohanan tersebut dianggap penting terutama bagi atlet-atlet negara yang tiada dalam program untuk memburu tempat bersama skuad kebangsaan di Hanoi.
“Persediaan kejohanan Olahraga Perak All-Comers ini telah dimaklumkan kira-kira empat bulan yang lalu kepada semua atlet di negara ini untuk menyertainya. Jadi, mereka telah melakukan persediaan yang cukup rapi sebelum ke Ipoh.
“Pastinya, kejohanan ini juga dianggap penting bagi atlet-atlet negara yang sedang memburu tempat ke Hanoi secara merit dan saya yakin akan ada kejutan pada saingan tersebut.
“Saya juga harap atlet yang digugurkan daripada program latihan kebangsaan sebelum ini perlu menggunakan peluang ini untuk membuktikan mereka sebenarnya layak untuk berada di dalam program,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam
Dalam pada itu, Karim turut menjelaskan bahawa kejohanan tersebut turut dilengkapi kemudahan terbaik terutama catatan masa elektronik.
“Penganjur akan menyediakan kemudahan terbaik untuk peserta dan catatan masa elektronik akan digunakan supaya tiada pihak yang boleh mempertikaikan keputusan nanti,” katanya.