PASUKAN Penang Black Panthers memberi jaminan tidak akan menghampakan para pengokong di laman sendiri apabila menggandingkan tiga trio pemain senior pada minggu ketujuh bagi pusingan kedua Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) di Spice Arena, Bayan Baru Sabtu ini.
Pengurusnya, Mohd. Kyairil Ridzuan Haron mengesahkan Aakasit Naphon (perejam), Muhammad Zaim Mohd. Razali (pengumpan) dan Muhammad Zarif Merican Ibrahim Merican (tekong) dipertaruhkan buat tatapan peminat skuad Harimau Kumbang.
Menurut Mohd. Kyairil, meskipun keputusan pemilihan pemain di tangan pihak kejurulatihan, namun dia yakin hasrat penyokong semestinya menjadi keutamaan.
“Perbincangan akan dilakukan dan kemungkinan impian penyokong tegar melihat gandingan tiga trio itu beraksi di gelanggang sendiri akan terlaksana.
“Kami sedaya upaya akan tunaikan hasrat penyokong kerana mereka adalah nadi kebangkitan pasukan Penang Black Panthers selama ini.
“Kami tidak akan mengecewakan permintaan peminat dan harapan kami agar perlawanan hari ini dan esok lebih terhibur dan menarik untuk disaksikan penyokong secara langsung mahupun di kaca televisyen,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau memberitahu, pasukannya kini lebih bersemangat untuk beraksi dengan lebih cemerlang di hadapan para penyokong dalam dua perlawanan menentang Selangor Pistons hari ini dan Kuala Lumpur Thunder esok.
“Kami akan berusaha sehabis baik bagi mengatasi pasukan lawan minggu ini. Semua lapan pemain sudah tidak sabar menunggu lampu hijau untuk turun beraksi di tempat sendiri kali ini.
“Saya yakin, barisan pasukan tiada masalah jika berdepan dengan pihak lawan kerana kita pernah menewaskan mereka pada pusingan pertama yang lalu. Janji beri 100 peratus yang terbaik di hadapan peminat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd. Kyairil berkata, dia yakin pasukannya itu mampu meraih kemenangan berganda sekali gus melonjak ke satu anak tangga berada di kedudukan kedua carta STL minggu ini.