JAKARTA – Sekurang-kurangnya dua orang terkorban, manakala 20 lagi cedera dalam kejadian gempa bumi yang menggegarkan Sumatera Barat pagi semalam.
Bencana itu memaksa penduduk membawa ahli keluarga mereka berlindung di tempat-tempat selamat ketika bangunan-bangunan mula runtuh.
Gempa itu berlaku beberapa minit selepas satu lagi gegaran yang kurang kuat tercetus dan mendorong penduduk untuk meninggalkan rumah mereka.
“Kami berlari keluar dari rumah (selepas gegaran pertama). Saya mempunyai bayi berusia setahun. Dalam keadaan panik, saya menolak kerusi bayi keluar dari rumah.
“Saya menyedari berlakunya gempa bumi kerana alat permainan anak saya terjatuh secara tiba-tiba.
“Saya menjadi panik kerana mempunyai ibu dan bapa mentua di rumah yang dalam keadaan uzur serta berusia,” kata seorang penduduk, Yudi Prama Agustino, 36.
Gempa bumi kuat berukuran 6.2 pada skala Richter itu menggegarkan Pulau Sumatera dan berpusat pada kedalaman 12 kilometer (km), kira-kira 70 km dari bandar Bukit Tinggi di wilayah Sumatera Barat, demikian menurut pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, tiada amaran tsunami dikeluarkan dan masih belum ada laporan kerosakan serius setakat petang semalam.
Beberapa penduduk tempatan memberitahu, gegaran kuat itu dirasai sejurus selepas pukul 8.30 pagi (waktu tempatan).
Beberapa gambar di bandar Pasaman yang terletak berhampiran dengan pusat gempa menunjukkan kediaman-kediaman dalam keadaan separa runtuh dengan batu-bata jatuh berselerak di atas tanah serta terdapat lubang pada dinding.
Ketua Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Suharyanto berkata, kediaman Datuk Bandar Pasaman turut mengalami kerosakan dengan serpihan kaca bertaburan di atas lantai.
Beberapa klip video yang disiarkan oleh stesen televisyen tempatan turut menunjukkan sebilangan pesakit dibawa ke sebuah hospital di Padang.
Sementara itu, gegaran daripada gempa tersebut turut dirasai di wilayah-wilayah berhampiran iaitu Riau dan Sumatera Utara sehingga ke negara-negara jiran seperti Malaysia dan Singapura.
“Datuk Bandar (Pasaman) menelefon dan mengarahkan tingkat dua dan tingkat tiga di semua bangunan perlu dikosongkan,” kata ketua BNPB di bandar Pasaman, Alim Bazar.
Dalam pada itu, polis Singapura berkata, pihaknya dan perkhidmatan kecemasan menerima panggilan telefon daripada orang awam yang melaporkan tentang berlakunya gegaran.
“Gegaran dirasai di sesetengah kawasan di Singapura sekitar pukul 9.45 pagi (waktu tempatan),” kata polis dalam satu kenyataan. – AFP