PETALING JAYA – Setiap manusia telah diajar sejak kecil untuk menjaga adab dan tingkah laku agar lebih menghormati keadaan sekeliling.
Namun, tidak semua orang mampu membezakan tindakan yang baik atau buruk sebelum melakukannya sehingga memberi kesan buruk kepada diri sendiri.
Baru-baru ini tular di media sosial gambar dua orang lelaki dilihat melakukan aksi seolah-olah memijak dan menendang sebuah replika kanak-kanak yang sedang kelaparan sehingga mengundang kemarahan orang ramai.
Menerusi perkongsian seorang pengguna di Twitter, gambar tersebut dikatakan diambil dalam sebuah muzium yang terletak di Pulau Pinang.
Sementara itu, menjengah ke ruangan komen, orang ramai telah memberikan pelbagai reaksi dan rata-ratanya mengecam tindakan lelaki berkenaan yang dianggap sebagai biadap serta tiada empati dalam diri mereka.
“Inilah yang saya maksudkan tentang kurang rasa belas kasihan. Bagaimana boleh terfikir nak lakukan perkara seperti ini di pameran replika kanak-kanak kelaparan, dan perkara ini sanggup dijadikan bahan lawak,” komen seorang pengguna.
Seorang pengguna lain turut meluahkan rasa kecewa melihat gambar berkenaan dan reaksi pada wajah lelaki tersebut langsung tidak berasa bersalah.
“Sekurang-kurangnya dia patut berfikir jika kanak-kanak replika itu adalah anaknya yang bernasib malang, dan muka mereka berdua langsung tak rasa bersalah, memang kecewa dengan sikap manusia sekarang ini,” luahnya. – KOSMO! ONLINE