PETALING JAYA – Rakyat Malaysia berkemungkinan perlu membayar harga lebih tinggi untuk barangan dan perkhidmatan, impak konflik antara Rusia dan Ukraine.
Naib Pengerusi Gerakan Keadilan Monetari Malaysia, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ia merupakan kesan daripada kenaikan harga bahan api akibat krisis itu, termasuk minyak mentah dan arang batu.
“Harga minyak yang tinggi, kini telah melepasi paras AS$105 (RM440) setong berkemungkinan memberi kesan kepada kos pengangkutan, seterusnya menaikkan kos pelbagai barangan dan perkhidmatan di Malaysia.
“Namun impak yang bakal dirasai pengguna akan bergantung kepada kesediaan kerajaan untuk terus menampung kadar subsidi minyak yang tinggi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Katanya, kenaikan harga arang batu (kini sekitar AS$216 (RM906) setan berbanding AS$67.5 (RM283) pada awal 2021, bahan utama untuk penjanaan tenaga elektrik turut menjadi antara faktor memaksa pengguna membayar harga lebih tinggi.
Namun jelasnya, kenaikan surcaj untuk tenaga elektrik jika ada, tidak akan diimplementasikan dalam tempoh terdekat berdasarkan mekanisme pelepasan kos tidak seimbang (ICPT).
Sehingga Jun ini, pengguna bukan domestik (komersial dan industri) perlu membayar surcaj tarif elektrik sebanyak 3.7 sen bagi setiap kilowatt jam (kWh), manakala pengguna biasa mendapat rebat dua sen per kWh.
“Surcaj tarif elektrik kebiasaannya tidak dikenakan kepada pengguna biasa, ia hanya dibayar oleh perniagaan.
“Namun, kenaikan kos elektrik yang perlu ditanggung perniagaan mungkin akan dipindahkan kepada pengguna menerusi harga jualan lebih tinggi untuk barangan dan perkhidmatan,” ujarnya.