fbpx

Debu, mahakarya Dayang Nurfaizah, Amir Masdi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Debu berpotensi besar untuk terus meletakkan kerjaya Dayang dan Amir pada laras lebih tinggi. Selain dilihat mudah masuk senarai pencabar utama Anugerah Juara Lagu edisi akan datang.

KOLABORASI perdana antara ratu R&B negara, Dayang Nurfaizah dan vokalis lelaki semakin meroket naik, Amir Masdi berjudul Debu bagai mimpi bertukar menjadi kenyataan.

Kedua-dua figura tersebut mempunyai gaya nyanyian tersendiri dan dicantumkan dalam satu mahakarya, maka tercernalah kualiti seperti apa yang diluncurkan buat para peminat baru-baru ini.

Secara peribadi, Debu merupakan satu perkongsian muzik paling berkualiti daripada penyanyi Malaysia setakat ini.

Perjalanan kalendar 2022 masih panjang tetapi ada banyak perihal bertuntaskan kualiti yang diterjemahkan melalui karya tersebut baik dari aspek vokal atau instrumental, melodi dan nukilan lirik.

Pertama sekali, dari segi vokal. Tiada secebis penafian bahawa dua penyanyi berkenaan, Dayang dan Amir merupakan antara vokalis terhebat tanah air sekarang ini.

Dayang seorang penyanyi yang fasih melahirkan emosi dalam setiap listrik vokalnya dan itu kian terbukti melalu Debu.

Signatur vokal

Dalam pada itu, Amir yang terkenal dengan signatur vokal ‘husky’ dan rock membuktikan dalam resume seninya, kehadirannya semakin perlu diberi perhatian. Penulis sendiri merupakan penggemar vokal Amir yang mempunyai jisim kualiti tersendiri.

Digabungkan kedua-duanya, maka terlahirlah mahakarya yang mempunyai potensi sangat besar. Maksudnya untuk memberi tentangan andai dipertandingkan dalam acara muzik berprestij, Anugerah Juara Lagu misalnya.

 

Gambaran minda dan halwa telinga sudah terlukis betapa versi ‘live’ Debu akan jadi berganda ‘sedap’ dan indah.

Dari segi melodi, berani untuk penulis sifatkan bahawa Debu terkandung kualiti bukan calang-calang. Lagu ini mahal dari kebanyakan sudut termasuk komposisi muziknya.

Melodi ‘mahal’

Dentingan piano pada awal muzik mengalir dengan cukup indah bersama vokal Dayang. Kemudian pada saat pra-korus (pre-chorus), disambut lantunan vokal Amir menyelinap masuk dengan rentak pantas, itu antara momen emas karya berkenaan. Top tier!

Keseimbangan vokal antara Dayang dan Amir sememangnya bertaraf emas. Dayang bijak mewarnakan merdu vokalnya dan Amir pula memberi keadilan yang saksama untuk kualiti yang disebutkan.

Seperkara lagi, kualiti video muzik juga layak diberikan pujian. Barangkali, video muzik yang dihasilkan merupakan antara terbaik buat Dayang mahupun, Amir Masdi.

Ringkas, indah dan cocok dideraskan dengan segala butir perkataan atau bait lirik yang dilontarkan.

Syabas buat Queen D, Amir Masdi dan pasukan untuk perkongsian mahakarya berjudul Debu.

Salah satu karya terbaik tempatan yang pernah hinggap di halwa telinga penulis setakat bulan kedua tahun 2022 bermula.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI