PETALING JAYA – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dibenarkan keluar dari hospital dan menjalani isolasi di rumah setelah didapati pulih daripada Covid-19.
Hishammuddin dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, bahawa beliau diwajibkan untuk terus menjalani isolasi di kediaman mengikut ketetapan Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Alhamdulillah, hasil penilaian pada pagi tadi, gejala yang saya alami telah pulih.
“Secara keseluruhannya, pasukan perubatan berpuas hati dengan tahap kesihatan saya dan membenarkan saya untuk keluar wad petang tadi,” katanya.
Dalam pada itu, Hishammuddin turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan perubatan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan yang telah menjaga dan merawat sebaik mungkin sepanjang beliau menjalani isolasi di hospital tersebut.
“Saya juga amat berterima kasih kepada rakan-rakan serta rakyat Malaysia yang prihatin dan mendoakan kesembuhan saya. Semoga Allah SWT merahmati kita semua,” ujarnya.
Sebelum ini, Hishammuddin telah disahkan positif Covid-19 pada 22 Januari lalu. – KOSMO! ONLINE