fbpx

Cedera dibelasah lepas pulas telinga remaja buat bising

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PASIR PUTEH – Gara-gara memulas telinga seorang remaja yang membuat bising semasa menunggang motosikal, seorang pesara bersama anak lelakinya cedera dipukul oleh bapa saudara remaja itu dan rakan-rakan di hadapan rumah mereka di Kampung Wakaf Lanas di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 petang, Mohammad Abdullah,55, cedera ringan di seluruh tubuh manakala anaknya, Muhammad Badrul Amin,22, hampir putus jari kelingking kaki, cedera pada jari dan seluruh badan akibat dipukul dengan kayu, besi dan parang.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Ediansha Endal berkata, siasatan awal mendapati, Mohammad bertindak memulas telinga anak saudara salah seorang daripada suspek kerana berang dengan tindakan remaja yang menunggang motosikal sambil membuat bising di hadapan rumahnya.

Menurutnya, remaja berusia 14 tahun itu kemudiannya mengadu kepada bapa saudaranya yang bernama Abe Ja sebelum dia datang bersama rakan-rakannya dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira dan beberapa buah motosikal.

“Semasa mangsa dan anaknya turun daripada kereta, mereka melihat beberapa lelaki berada dalam keadaan marah di hadapan rumah. Sekumpulan lelaki itu terus menyerang dua beranak itu menggunakan kayu, besi dan parang.

“Berdasarkan maklumat mangsa, dia tidak mengenali kesemua suspek yang memukulnya kerana mereka dipercayai bukan berasal dari kampung tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Ediansha, Muhammad Badrul telah dibawa ke Hospital Tengku Anis di sini sebelum dipindahkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian kerana jari kaki kelingkingnya yang hampir putus akibat ditetak perlu dipasang besi.

Ujarnya, selepas menjalankan siasatan, polis menahan remaja yang dipercayai anak saudara salah seorang suspek dan rakannya berusia 17 tahun di Kampung Bukit Abal di sini.

“Empat suspek yang berusia 29 hingga 40 tahun yang dipercayai terlibat memukul mangsa dan anak lelakinya sudah dikenal pasti identiti mereka dan diminta agar menyerah diri kepada polis dengan segera.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaa kerana mendatangkan cedera parah dengan menggunakan senjata,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI