Semalam bermula pelaksanaan syarat baharu solat berjemaah bagi umat Islam yang bemaustatin di Selangor.
Ia mengenai ketetapan mewajibkan jemaah yang lengkap dua dos vaksin dan menerima dos penggalak sahaja dibenarkan menunaikan solat Jumaat di masjid di negeri itu.
Sebelum ini, mereka yang melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 sudah dibenarkan untuk beribadah di rumah Allah itu.
Perkara itu diputuskan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan diperkenankan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Langkah itu dibuat sejajar dengan arahan untuk mempertingkatkan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di masjid dan surau di Selangor dalam usaha mengawal penularan Covid-19 yang semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini.
Antara yang ditekankan dalam edaran tersebut adalah hanya jemaah yang menerima vaksin lengkap dua dos dan vaksin penggalak (booster) dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat di masjid di Selangor.
Pihak masjid juga perlu memastikan penandaan kedudukan jemaah dilakukan dengan jelas di ruang dewan solat utama dan ruang limpah masjid dan surau berdasarkan penjarakan fizikal satu meter.
Selain itu, jemaah juga perlu mengekalkan SOP sedia ada iaitu sihat dan tidak bergejala, memakai pelitup muka, membawa sejadah dan berwuduk. Para jemaah juga perlu mempamerkan dan merekod kehadiran melalui aplikasi MySejahtera.
Tidak setakat itu, pengurusan masjid dan surau juga perlu memastikan ventilasi ruang solat berhawa dingin dengan membuka sebahagian pintu di dewan solat utama.
Ia bertujuan untuk memastikan tidak berlaku kitaran peredaran udara tepu yang memungkinkan penularan lebih mudah serta pantas berlaku.
Pada masa sama, pengurusan juga perlu memastikan sanitasi dilakukan secara berjadual khususnya sebelum dan selepas solat atau majlis membabitkan penyertaan jemaah yang ramai.
Pensyarah Anatomi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Amira Raudhah ketika dihubungi Kosmo! menyokong penuh langkah dan ketetapan yang dibuat oleh negeri tersebut.
Beliau menyifatkan langkah yang dibuat tersebut sebagai satu pelan jangka panjang yang perlu dicontohi oleh semua pihak.
Menurut Amira Raudhah, Selangor perlu dipuji dan diikuti kerana tindakan pantas serta drastik yang dilaksanakan dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19 yang menunjukkan trend membimbangkan sejak kebelakangan ini.
“Jika kita lihat dalam konteks tujuan dan motif pelaksanaan, tidak lain tidak bukan ia bertujuan mengurangkan risiko orang ramai dijangkiti wabak tersebut terutama dalam kalangan para jemaah.
“Ketetapan dengan kewajipan bahawa setiap jemaah perlu melengkapkan dua dos vaksin ditambah pula dengan pengambilan dos penggalak langsung tidak dilihat sebagai isu yang sengaja mahu disensasikan apatah lagi dijadikan bahan politik,” kata beliau.
Beliau menambah, beberapa penambahbaikan SOP bukanlah sengaja bertujuan untuk menyukarkan rakyat, sebaliknya perlu dilihat menerusi ruang lingkup secara keseluruhan.
“Sudah pasti beberapa perkara sudah dinilai sebelum sesuatu perkara diputuskan,” ujarnya.