MANCHESTER – Penganalisis bola sepak England, Jamie Carragher percaya bahawa Manchester United tidak sepatutnya menyenaraikan Marcus Rashford dalam kesebelasan utama ekoran prestasinya yang semakin tidak menentu.
Rashford, 24, terus gagal mempamerkan aksi terbaiknya sejak beberapa musim lalu di Old Trafford, namun masih menjadi pilihan pengurus interim, Ralf Rangnick dan pengurus sebelum itu, Ole Gunnar Solskjaer.
Pemain antarabangsa England yang diturunkan sebanyak 14 kali dalam kesebelasan utama itu hanya berjaya menjaringkan lima gol dan dua umpanan gol sahaja dalam kesemua 22 penampilannya musim ini.
Dia gagal memberikan aksi yang diharapkan oleh United ketika mereka terikat 1-1 menentang Atletico Madrid pada aksi Liga Juara-Juara menyebabkannya turut berdepan kritikan hebat daripada legenda kelab itu, Paul Scholes.
“Marcus Rashford berada dalam pasukan itu sejak dia masih remaja. Dia merupakan pemain yang sentiasa mampu memberi ancaman, sentiasa cuba meningkatkan prestasi dan mahu menjadi pemain hebat tetapi itu tiada pada diri Rashford ketika ini.
“Saya fikir dia tidak sepatutnya berada dalam kesebelasan United ketika ini. Prestasinya musim ini tidak mampu memberi nilai yang penting buat pasukan itu.
“Dia gagal memberikan aksi terbaik ketika beraksi di bahagian kanan. Saya fikir dia hanya sesuai untuk bermain di bahagian kiri atau menjadi pemain tengah menyerang.
“Saya masih menantikan detik di mana Rashford menjadi pemain yang hebat untuk United yang mampu membantu mereka memenangi trofi tetapi perkara itu tidak berlaku ketika ini,” katanya. – AGENSI