LONDON – Stadium London yang menjadi gelanggang pasukan West Ham United berpeluang cerah untuk menjadi lokasi penganjuran perlawanan akhir Liga Juara-Juara (UCL) musim ini.
Ia ekoran keputusan Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) membatalkan hak penganjuran perlawanan tersebut yang dijangka berlangsung pada 28 Mei depan yang sebelum ini diberikan kepada Gazprom Arena, Saint-Petersburg, Rusia.
UEFA membuat keputusan tersebut sebagai tanda protes ekoran keputusan Rusia memulakan perang terhadap Ukraine kelmarin.
“Berikutan pendudukan Rusia ke atas Ukraine, Presiden UEFA, Aleksander Ceferin akan mengadakan satu mesyuarat luar biasa melibatkan Ahli Jawatankuasa Eksekutif untuk memutuskan beberapa perkara yang difikirkan perlu,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh UEFA.
Difahamkan mesyuarat berkenaan akan turut membincangkan mengenai veneu baharu perlawanan akhir dan proses membuat keputusan mengenainya.
Selain Stadium London, dua lagi venue di England dilaporkan bersedia untuk menjadi hos untuk perlawanan akhir berkenaan termasuk Stadium Wembley dan Stadium Tottenham Hotspur yang memiliki kapasiti yang melebihi kriteria yang diperlukan.
Bagaimanapun, UEFA dikatakan hanya akan mengumumkan mengenai stadium yang terpilih sehingga saingan memasuki fasa separuh akhir untuk memastikan ia dapat memudahkan pasukan yang bakal bertembung pada aksi final itu nanti.
Setakat ini, empat pasukan dari England masih kekal bersaing pada pusingan 16 pasukan terbaik dan sekiranya slot perlawanan final disertai dua pasukan itu, hampir pasti perlawanan akhir akan berlangsung di negara berkenaan.
Perubahan saat-saat akhir seperti ini menyebabkan UEFA perlu memikirkan pelbagai isu termasuk kesediaan venue yang dipilih untuk proses penganjuran selain faktor logistik. – AGENSI