LONDON – Formula Satu (F1) sedang memantau potensi penganjuran Grand Prix (GP) Rusia selepas Presiden Rusia, Vladimir Putin mengarahkan pencerobohan ke atas Ukraine.
Ketika ini, Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat dan United Kingdom telah mengutuk pencerobohan itu dan telah mula mengenakan sekatan terhadap Rusia sekai gus menimbulkan spekulasi sama ada perlumbaan tersebut bakal menerima kesan pembatalan.
“Ketika F1 sedang meneliti perkembangan dari semasa ke semasa. Namun, buat masa ini tiada sebarang kenyataan rasmi dapat dikeluarkan mengenai perlumbaan GP Rusia yang bakal diadakan pada September nanti,” kata jurucakap penganjur.
Sementara itu, Sebastian Vettel antara yang lantang mengkritik sekali gus menegaskan GP Rusia patut dibatalkan dan mengancam tidak akan berada di sana jika perlumbaan itu diteruskan.
“Jelas sekali, saya sangat terkejut selepas mendengar berita tersebut. Saya tidak akan pergi jika perlumbaan itu diteruskan. Ia adalah satu tindakan yang salah untuk berlumba di negara itu.
“Saya simpati kerana orang yang tidak bersalah kehilangan nyawa. Mereka terbunuh atas sebab bodoh dan kepemimpinan yang sangat pelik serta gila,” tegas Vettel.
Juara dunia musim lalu, Max Verstappen turut senada dan menggesa saingan GP Rusia tidak diteruskan ketika negara itu dalam situasi perang.
“Apabila sesebuah negara itu sedang berperang adalah tidak wajar untuk meneruskan perlumbaan di negara tersebut. Namun, keputusan ini harus diputuskan semua pihak sama terutama tindakan seterusnya,” ujarnya. –AGENSI